Selepas Jennifer didiagnosis dengan demensia (penyakit pelupa) awal, dia susah untuk membaca Alkitab, Jadi, dia mula mendengar Alkitab dibacakan. Ayat Alkitab kini membawa makna baru baginya. Contohnya, dia mudah sesat, kerap tidak kenal orang-orang di sekelilingnya, dan kerap nampak bayangan haiwan buas yang sebenarnya tidak ada. Ketika dia kebingungan dan ketakutan, dia mendapat ketenangan daripada Tuhan apabila mendengar kitab Yesaya bercakap tentang “Jalan Kesucian” yang ditetapkan oleh Tuhan, “bagi orang yang melangkah di Jalan itu” (Yesaya 35:8). Di jalan itu tidak akan ada orang bodoh yang jahat, “dan binatang buas”, tetapi hanya “orang yang ditebus akan melangkah di situ,” yakni mereka yang diselamatkan oleh Tuhan (ayat 9).

Nabi Yesaya menyampaikan janji-janji Tuhan kepada umat-Nya, yang telah dibuang dari tanah air mereka. Mereka jauh dari bait suci, tempat yang biasanya mereka merasakan kehadiran Tuhan. Jadi, mereka tentu berasa sedih, sunyi dan kehilangan harapan. Oleh itu, janji akan Jalan Kesucian, iaitu jalan yang menuju kepada Tuhan, memberi mereka harapan dan kekuatan. Apabila mereka membayangkan masuk ke “Sion sambil bernyanyi dan bersorak-sorak,” (ayat 10 TMV) tanpa takut dan kesedihan, hal itu telah membuat mereka girang dan gembira.

Seperti Jennifer masih berpegang pada janji Tuhan yang telah diberikan ratusan tahun dahulu, begitu juga kita yang percaya kepada Yesus boleh yakin bahawa ketika kita berjalan bersama-Nya, kita akan mengalami kegirangan dan kegembiraan (ayat 10). Apa pun ujian yang kita hadapi dalam kehidupan ini—walau seberat atau sebesar mana pun perubahan hidup itu—kita tahu bahawa jalan Tuhan membawa kita pulang kepada-Nya.