George Washington Carver dilahirkan sebagai seorang hamba pada tahun 1860-an. Dia sering sakit sewaktu masih bayi, maka dia dijual kepada seorang pemilik hamba dengan harga seekor kuda. Ketika remaja, dia ternampak pembunuhan seorang lelaki berkulit hitam oleh sekumpulan orang berkulit putih. Walaupun begitu, George cemerlang dalam pelajaran, tetapi apabila dia memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Highland di Kansas, permohonannya ditolak sebab warna kulitnya. Namun dalam semua dugaan itu, pemuda ini tetap mengekalkan iman yang mendalam kepada Tuhan. Ayat Alkitab yang menjadi pegangan hidupnya ialah Amsal 3:6: “Ingatlah Dia dalam segala jalanmu, maka Dia akan meluruskan jalanmu.”

Kadangkala kita berasa terbeban oleh keadaan hidup. Kita mengalami kegagalan dan kekecewaan. Kadang-kadang kita juga tidak tahu hala tuju kita. Namun kitab Amsal menggalakkan kita: “Percayalah kepada TUHAN dengan segenap hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri” (ayat 5). Inilah cara Alkitab menyampaikan maksud, “Serahkanlah segalanya dan biarlah Tuhan memimpin hidupmu.”

George Washington Carver mengikuti jalan yang ditentukan oleh Tuhan. Dia terus berusaha walaupun menghadapi pelbagai rintangan, belajar sendiri tentang botani dan geologi, akhirnya dia menjadi seorang saintis yang terkenal. Pencapaiannya termasuklah menghasilkan ratusan kegunaan daripada kacang tanah serta memperkenalkan kaedah penanaman bergilir-gilir. Kaedah itu mengubah dan memperbaiki cara pertanian di Amerika Syarikat. Tuhan mempunyai cara untuk mengubah sesuatu yang buruk menjadi baik. Apa pun yang sedang anda hadapi hari ini, kuncinya adalah “ingatlah Dia” dan mendengar suara-Nya. Saksikan bagaimana Dia membuka jalan dalam kehidupan anda.