George Washington Carver dilahirkan sebagai seorang hamba pada tahun 1860-an. Dia sering sakit sewaktu masih bayi, maka dia dijual kepada seorang pemilik hamba dengan harga seekor kuda. Ketika remaja, dia ternampak pembunuhan seorang lelaki berkulit hitam oleh sekumpulan orang berkulit putih. Walaupun begitu, George cemerlang dalam pelajaran, tetapi apabila dia memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Highland di Kansas, permohonannya ditolak sebab warna kulitnya. Namun dalam semua dugaan itu, pemuda ini tetap mengekalkan iman yang mendalam kepada Tuhan. Ayat Alkitab yang menjadi pegangan hidupnya ialah Amsal 3:6: “Ingatlah Dia dalam segala jalanmu, maka Dia akan meluruskan jalanmu.”
Kadangkala kita berasa terbeban oleh keadaan hidup. Kita mengalami kegagalan dan kekecewaan. Kadang-kadang kita juga tidak tahu hala tuju kita. Namun kitab Amsal menggalakkan kita: “Percayalah kepada TUHAN dengan segenap hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri” (ayat 5). Inilah cara Alkitab menyampaikan maksud, “Serahkanlah segalanya dan biarlah Tuhan memimpin hidupmu.”
George Washington Carver mengikuti jalan yang ditentukan oleh Tuhan. Dia terus berusaha walaupun menghadapi pelbagai rintangan, belajar sendiri tentang botani dan geologi, akhirnya dia menjadi seorang saintis yang terkenal. Pencapaiannya termasuklah menghasilkan ratusan kegunaan daripada kacang tanah serta memperkenalkan kaedah penanaman bergilir-gilir. Kaedah itu mengubah dan memperbaiki cara pertanian di Amerika Syarikat. Tuhan mempunyai cara untuk mengubah sesuatu yang buruk menjadi baik. Apa pun yang sedang anda hadapi hari ini, kuncinya adalah “ingatlah Dia” dan mendengar suara-Nya. Saksikan bagaimana Dia membuka jalan dalam kehidupan anda.
ILHAM
Amsal 3 menekankan manfaat menyesuaikan hidup dengan hikmat. Kelebihan hidup yang dipimpin oleh hikmat seperti yang digambarkan dalam fasal ini—“umur panjang, usia lanjut dan kesejahteraan” (ayat 2), “nama baik” atau disukai (ayat 4), dan “kesihatan” (ayat 8)—tidak seharusnya difahami sebagai janji kehidupan yang mudah. Sepanjang Alkitab, kita juga melihat bahawa dalam dunia yang telah jatuh dalam dosa ini, umat Tuhan sering menghadapi kesukaran yang besar. Sebaliknya, fasal ini menunjukkan prinsip bahawa kerana dunia diciptakan oleh hikmat Tuhan, manusia paling berpotensi berkembang apabila hidup selaras dengan hikmat itu.Perkataan kesejahteraan dalam ayat 2 ialah kata Ibrani shalom, satu perkataan yang kaya makna dan bukan sekadar ketiadaan konflik, tetapi mencakupi kehidupan yang makmur dan berlimpah. Shalom menunjukkan dunia sebagaimana sepatutnya. Apabila terdapat keharmonian antara Tuhan dan ciptaan-Nya, semua orang akan berkembang. Apa pun cabaran yang kita hadapi, mencari hikmat dan bimbingan Tuhan boleh membawa kehidupan baru dan harapan dalam situasi kita.
