Dengan langkah lesu, saya melangkah ke kedai alat tulis untuk membeli kad ucapan Selamat Hari Bapa. Saya cuba berdamai dengan ayah saya selama bertahun-tahun ini, meskipun pernah disakiti ketika kecil, sebelum dan selepas meninggalkan rumah pada usia 15 tahun—semua itu melalui doa. Sedihnya, puluhan tahun kemudian, rasa akrab dengan ayah masih sukar dirasai, jauh daripada gambaran dalam kad-kad yang memuji ayah sebagai yang “terbaik”. Maka, ketika berdiri di bahagian kad di kedai itu, saya berdoa kepada Tuhan untuk ayah saya sebagai cara untuk menghormati Bapa saya yang di syurga.

Daripada Adam dan Kain, ke Daud dan Absalom, hingga ayah dan saya, dosa telah menimbulkan persengketaan dan kelukaan hati yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. Namun, rasul Paulus tetap menasihati anak-anak supaya taat kepada ibu bapa mereka “dalam Tuhan, kerana inilah yang wajar [untuk dilakukan]” (Efesus 6:1). Menghormati ibu bapa merupakan perintah yang disertai janji dan ganjaran (ayat 2-3). Pada masa yang sama, para bapa bertanggungjawab untuk membesarkan dan mendidik anak-anak supaya mereka mengenal dan mengasihi Tuhan (ayat 4). Umat Tuhan diciptakan untuk saling melayani, “bekerja dengan niat yang bersih, seperti untuk Tuhan, bukan untuk manusia” (ayat 7). Malangnya, dosa memusnahkan hubungan ini.

Tidak kira bagaimanapun hubungan kita dengan ibu bapa, kita tetap bersyukur kepada Tuhan atas mereka yang telah dipilih-Nya untuk memberi kita kehidupan. Kita boleh berdoa agar ibu bapa kita memiliki hubungan yang akrab dengan Kristus, yang mampu mengubah hati dan hidup mereka. Doa untuk orang lain agar mereka memiliki hubungan dengan Yesus adalah hadiah yang penuh kasih sayang dan penghormatan, yang turut membantu memperbaiki hubungan dan membawa perubahan yang baik dalam kehidupan mereka.