Upacara peringatan untuk mendiang bapa saudara kepada datuk saya menampilkan hidangan daging lembu panggang, jagung, dan kekacang sebagai penghormatan kepada sikap ramah yang telah diamalkan olehnya dan isterinya selama bertahun-tahun. Setiap pagi Ahad, mereka akan memasukkan daging panggang dan sayur-sayuran ke dalam periuk perlahan sebelum pergi ke gereja. Selepas kebaktian, mereka akan mencari seseorang untuk dijemput makan tengah hari. Kadang-kadang yang dijemput ialah sahabat baik, kadang-kadang seorang yang tidak dikenali. Walau siapa pun yang bakal dijemput, mereka memastikan makanan di rumah sentiasa mencukupi, dan petang Ahad dikhaskan sepenuhnya untuk melayan tetamu dengan baik.
Amalan mereka yang bermurah hati pada hari Ahad memang memerlukan persediaan yang sengaja dibuat. Bangsa Israel mengikuti cara yang serupa. Melalui Musa, Tuhan memerintahkan mereka supaya meninggalkan sebahagian hasil tanaman mereka “untuk para fakir miskin serta pendatang” (Imamat 19:10). Pada musim menuai, mereka diarahkan supaya tidak menuai hingga ke pinggir kebun, membiarkan yang gugur, dan tidak memungut saki-baki tuaian mereka (ayat 9-10). Dengan cara demikian, orang yang tidak memiliki tanah masih boleh bekerja untuk mengumpulkan makanan. Bagi umat Tuhan, ini bukanlah sesuatu yang sekali-sekala atau secara kebetulan—walaupun hal itu juga boleh menjadi berkat yang indah. Ini menjadi cara hidup mereka setiap tahun.
Terdapat pelbagai peluang bagi kita untuk menunjukkan kasih Yesus yang penuh kemurahan. Ada peluang yang tidak dapat kita persiapkan, dan ada juga yang boleh kita lakukan. Dengan pertolongan Tuhan, marilah kita mempertimbangkan bagaimana kita dapat melayani orang lain dengan baik pada hari ini (ayat 33).
