Ketika doktor haiwan membuat pemeriksaan tahunan pada anjing kecil kami, dia berkata, “Mukanya gula!” “’Muka gula’? Apakah itu?”, tanya saya. “Itulah istilah untuk anjing baka retriever yang mukanya menjadi putih lebih awal daripada biasa,” jawabnya sambil tersenyum. “Ia cuma menunjukkan bahawa dia punya sifat manis,” tambahnya.
Apabila saya merenungkan saat itu, soalan ini terlintas dalam hati saya: apakah yang akan terpancar pada wajah saya ketika orang lain menatap saya. Adakah mereka akan menangkap sekilas “keserian di wajah saya”—buah dari kuasa kasih Yesus yang mengubah hati dan kehidupan saya? Alkitab menggambarkan detik-detik yang menakjubkan ketika Musa turun dari Gunung Sinai, setelah berhari-hari berada dalam hadirat Tuhan. “Musa tidak sedar yang kulit mukanya bercahaya-cahaya kerana dia telah berbicara dengan TUHAN”, begitu bercahaya sehingga orang ramai “takut mendekatinya” (Keluaran 34:29-30). Untuk mengurangkan rasa takut itu, Musa “menyelubungi mukanya” dan menanggalkan selubung itu setiap kali “dia masuk menghadap TUHAN” kembali (ayat 33, 35).
Sudah tentu Musa benar-benar bercakap dengan Tuhan secara “berhadapan muka” (33:11), sesuatu pengalaman yang unik dalam Alkitab. Namun, Alkitab juga mengingatkan kita bahawa kita yang mengenal Tuhan melalui Kristus telah “diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar” (2 Korintus 3:18). Kehadiran-Nya dalam diri kita dapat menarik hati orang lain—karya kasih Tuhan. Wajah kita mungkin tidak bercahaya seperti wajah Musa, tetapi apabila kita meluangkan masa dalam hadirat Tuhan, Dia akan semakin nyata dalam diri kita.
ILHAM
Dalam Keluaran 34, wajah Musa benar-benar bersinar selepas pertemuannya dengan Tuhan yang menyingkapkan kemuliaan-Nya yang agung. Hal ini menunjukkan Tuhan benar-benar menyertai umat-Nya melalui Musa, dan wahyu-Nya dapat dipercayai. Dalam budaya Timur Dekat kuno, wajah yang bersinar dipercayai menandakan seseorang itu bersifat ilahi. Harun dan orang Israel menjadi takut ketika melihat wajah Musa (ayat 30), mungkin kerana menyangka dia telah menjadi seperti tuhan. Dengan membiarkan wajahnya yang bersinar itu dilihat hanya ketika dia menyampaikan perintah Tuhan kepada umat Israel, dan menutupinya pada waktu lain (ayat 34-35), Musa mungkin berusaha mengelakkan umat Israel daripada menyembahnya dan bukannya Tuhan.Dalam 2 Korintus 3:12-18, Paulus menjelaskan bahawa melalui Yesus, setiap orang boleh mengalami kemuliaan Tuhan seperti yang dialami oleh Musa. Mereka yang “merenungkan” kemuliaan Kristus akan: ”diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar” (ayat 18)—semakin hari semakin mencerminkan Dia. Apabila kita meluangkan masa bersama Tuhan, wajah kita akan “bersinar” dengan kasih-Nya.
