Saya mendapat inspirasi semasa membaca sebuah cerita fiksyen sejarah tentang kehidupan Mary McLeod Bethune, pengasas Universiti Bethune-Cookman. Kisah tentang ketabahan dan keprihatinannya terhadap orang lain mendorong saya ingin mengetahui lebih banyak tentang dia. Satu cerita mengatakan bahawa pada awal tahun 1900-an, dia pernah “menggambarkan” kepada seorang ahli perniagaan kaya tentang bangunan-bangunan di sekolahnya untuk wanita muda Afrika Amerika. Namun, apabila ahli perniagaan itu datang melawat “kampus” tersebut, didapatinya hanya ada sebuah bangunan. Mary sebenarnya sedang menggambarkan impiannya kepada ahli perniagaan itu, bukan keadaan sebenar pada masa itu. Dia berharap ahli perniagaan tersebut akan percaya pada visinya dan membantu memberi dana. Akhirnya, kepercayaan dan visinya berjaya menarik sokongan kewangan, dan sekolah itu berkembang sehingga menjadi sebuah universiti empat-tahun yang masih wujud hingga hari ini.
Bethune pernah berkata: “Tanpa iman, tidak ada yang mungkin. Dengan iman, tidak ada yang mustahil.” Petikan ini serupa dengan apa yang disampaikan oleh Yesus kepada para murid yang terkejut dan mengajukan pertanyaan tentang penyelamatan Tuhan. Mereka berusaha untuk memahami bagaimana seseorang dapat “memasuki Kerajaan Allah,” atau syurga (Matius 19:24). Mereka ingin tahu “siapakah yang dapat diselamatkan?” (ayat 25). Yesus menjelaskan kepada para pengikut-Nya bahawa iman kepada Tuhan adalah satu-satunya jalan, kerana “bagi Allah tidak ada satu pun yang mustahil” (ayat 26).
Iman berakar pada kepercayaan kepada Tuhan dan kuasa-Nya. Iman ialah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat (rujuk Ibrani 11:1)—seperti impian tentang sebuah sekolah bagi mereka yang memerlukan, atau rumah kekal bagi mereka yang menerima Kristus. Semoga Tuhan menolong kita melihat apa yang dilihat-Nya.
