Di tengah panas terik, seorang wanita warga emas tiba-tiba pengsan di kaki lima setelah terjatuh. Beberapa orang berhenti untuk membantunya. Seorang menghubungi hospital, seorang lagi meletakkan kot di bawah kepalanya dengan lembut. Yang lain meletakkan tuala di bawah lengannya, manakala seorang lagi memegang payung untuk meneduh kepalanya sehingga paramedik tiba. Orang yang memuat naik video tersebut menulis bahawa situasi itu amat menyentuh hati, kerana mereka yang membantu terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang etnik—semuanya bekerjasama untuk membantu seseorang yang berada dalam kesusahan.
Apabila ahli Taurat bertanya kepada Yesus “Siapakah sesama manusia itu?” (Lukas 10:29), maksudnya, kepada siapa dia wajib menunjukkan kasih, Yesus menceritakan kisah tentang seorang lelaki yang dibelasah sehingga setengah mati oleh penyamun dan terbaring di tepi jalan (ayat 30-31). Seorang imam dan kemudian seorang Lewi melintas berhampirannya, tetapi kedua-duanya mengelak dan mengambil jalan lain. Akhirnya, seorang Samaria berhenti untuk menolong lelaki itu. Yang menjadikan peristiwa ini luar biasa ialah orang Yahudi dan orang Samaria mempunyai sejarah panjang sebagai musuh kesat dan saling memandang hina. Namun, orang Samaria yang berhenti dan “tergerak oleh belas kasihan” terhadap lelaki itu (ayat 33).
Selepas menceritakan perumpamaan ini, Yesus bertanya siapa antara mereka yang menjadi sesama manusia kepada lelaki itu. Ahli Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya” (ayat 37). Yesus berkata kepadanya, dan kita, “Pergi dan berbuatlah sedemikian.”
Semoga Tuhan menolong kita untuk menyedari bahawa setiap orang yang kita temui ialah sesama kita, sesama manusia yang diciptakan oleh-Nya dan layak menerima pertolongan kita.
ILHAM
Apabila seorang ahli Taurat bertanya, “Siapakah sesama manusia itu?” (Lukas 10:29), Yesus tidak menjawab secara langsung. Sebaliknya, Dia menceritakan sebuah kisah yang mengangkat seorang Samaria sebagai teladan (ayat 30-35), iaitu bangsa yang dihina dan dianggap sesat oleh ramai orang Yahudi. Hal ini mencabar pandangan ahli Taurat yang mungkin berpusat pada diri sendiri dan berasa dirinya benar, serta memaksanya berhadapan dengan prasangkanya sendiri. Dia dipanggil bukan sahaja untuk mengasihi semua orang, termasuk musuhnya, tetapi juga untuk belajar tentang berbelas kasihan terhadap seseorang yang dipandang rendah olehnya. Apabila Kristus bertanya siapakah yang telah menjadi “sesama manusia” dalam kisah itu (ayat 36), ahli Taurat itu bahkan tidak sanggup menyebut perkataan “Samaria,” lalu menjawab, “Orang yang …” (ayat 37).Bukan soal siapa yang patut dikasihi, tetapi bagaimana kita dapat mengasihi semua orang sebagai sesama manusia.
