Semasa Perang Saudara Amerika Syarikat (1861-1865) berlarutan, kedua-dua pihak memerlukan lebih ramai askar. Oleh itu, dibuatlah undang-undang kerahan tentera (orang biasa dikerah menjadi askar). Di pihak Selatan (Konfederasi), ada satu cara untuk mengelakkan diri daripada pergi berperang. Seorang lelaki yang dipilih menjadi askar boleh membayar orang lain untuk menggantikannya. Biasanya si pengganti itu ialah orang yang terlalu muda atau terlalu tua. Mereka sebenarnya tidak wajib pergi berperang. Biasanya orang yang enggan pergi berperang itu dipanggil “prinsipal”. Dia perlu membayar yuran kepada kerajaan serta sejumlah besar wang kepada penggantinya. Jadi, hanya golongan kaya yang mampu menanggung kos pengganti.

Rasul Paulus menulis tentang perang rohani yang besar, bahawa: “semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah” (Roma 3:23) dan “ganjaran dosa ialah kematian” (6:23). Tiada klausa (fasal) atau jalan keluar yang membolehkan sesiapa, kaya atau miskin, terlepas daripada hukuman itu. Tetapi bagaimana dengan seorang pengganti bagi setiap kita? Penulis surat Ibrani memuji Tuhan, yang dalam rahmat-Nya yang tidak terhingga, mengutus Yesus sebagai pengganti kita, untuk menanggung hukuman kerana dosa kita, membayar hutang kita melalui pengorbanan “tubuh Yesus Kristus sekali untuk selama-lamanya”, supaya kita boleh “disucikan” melalui persembahan itu (Ibrani 10:10). Kita telah “mati bersama Kristus,” dan suatu hari nanti “kita akan hidup dengan-Nya” (Roma 6:8).

Itulah berita baik yang sebenar. Kristus mati bagi anda dan saya; pengganti telah mengambil tempat kita. Kini kita lebih daripada sekadar mangsa perang yang terselamat. Kita telah menjadi anak-anak Tuhan.