Teras kayu merupakan tiang sokongan utama bagi sesetengah pokok. Walaupun teras itu sudah mati, ia tidak mudah reput atau kehilangan kekuatannya, sementara lapisan luar yang hidup masih utuh. Malah teras kayu boleh sekuat keluli, kerana ia terbina daripada gentian yang diikat bersama oleh gam semula jadi yang dipanggil lignin. Elemen struktur ini membolehkan pokok ini bertahan menghadapi pelbagai cabaran alam semula jadi.

Ketika Paulus mendorong jemaah Kolose untuk menjalani hidup yang telah dibangkitkan, dia mungkin menggunakan metafora teras kayu untuk menunjukkan bagaimana orang yang telah diselamatkan diubah. “Kerana kamu telah mati, dan hidupmu tersembunyi bersama Kristus dalam Allah” (Kolose 3:3). Walaupun ungkapan “telah mati” mungkin kedengaran mengecewakan, daripada perspektif kebangkitan, ia membawa harapan. Tuhan mengubah teras yang mati dalam diri kita, menguatkan kita dengan kuasa Yesus yang telah dibangkitkan untuk menghadapi dugaan hidup.

Teras jiwa kita yang dulu telah mati seperti teras kayu sebatang pokok. Namun kini, kita wujud sebagai ciptaan Tuhan yang unik—dan lebih lagi. Kita dicipta baru (Wahyu 21:5). Kita adalah ciptaan baru dalam Kristus (2 Korintus 5:17). Kita “hidup, bergerak serta ada di dunia ini” dalam Yesus (Kisah Para Rasul 17:28).

Struktur pokok mengingatkan kita tentang kuasa transformasi Kristus dalam hidup kita. Syukurlah kepada Tuhan kerana Dia mentransformasikan kita daripada kematian kepada kehidupan!