Walaupun Carol suka berkawan dan membantu orang dalam pelayanan warga emas di gerejanya, dia kerap disalahkan oleh pemimpin gereja yang suka menguasai orang lain. Keadaan ini membuatnya begitu terganggu sehingga dia perlu mendapatkan kaunseling. Dia dinasihatkan untuk berhenti daripada pelayanan, tetapi dia tidak mahu “meninggalkan” kumpulan warga emas itu. Dalam dilema ini, dia berdoa memohon bimbingan Tuhan. Maka Tuhan memberinya penghiburan dan keyakinan ketika dia menyerahkan ketakutannya kepada-Nya. Tuhan menunjukkan kepadanya bahawa dia perlu bercakap dengan pemimpin itu sambil mempercayai Tuhan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Apabila Raja Yosafat mendengar tentang musuh kuat yang menghampiri Yerusalem, respons pertamanya ialah berdoa. Dengan berserah pada kuasa Tuhan, dia berkata, “Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi mata kami tertuju kepada-Mu” (2 Tawarikh 20:12). Daripada bergantung pada kekuatan mereka sendiri, raja dan rakyat Yehuda menyerahkan diri serta kesusahan mereka kepada Tuhan (ayat 18).
Jawapan Tuhan kepada raja dan rakyat melalui nabi Yahaziel telah menguatkan mereka: “Jangan takut dan jangan kecut hati … kerana bukan kamu yang akan berperang melainkan Allah” (ayat 15). Tuhan memerintahkan Yehuda untuk keluar berperang, tetapi mempercayakan kesudahan kepada-Nya. Mereka bertindak dengan iman, memuji Tuhan seolah-olah doa mereka telah dijawab (ayat 20-21)—dan akhirnya mereka menyaksikan kemenangan (ayat 24).
Apabila kita menghadapi situasi sukar, marilah kita berdoa meminta pertolongan Tuhan. Kita mungkin tidak selalu melihat kemenangan dengan segera, tetapi apa pun yang berlaku, kita tidak perlu takut, kerana Dialah yang akan berperang.
