Michele merasakan pelbagai emosi ketika ayahnya menjelang akhir hidupnya. Dia berasa sangat sedih ketika ayahnya berkata, “Sayang, ayah tak akan ada untuk mengiringimu ke pelamin.” Tetapi Michele meyakinkan ayahnya bahawa dia menyayanginya, sambil berpegang pada pengharapan yang ditemuinya dalam Ibrani 11 ketika dia berkata, “Ayah sedang menuju ke tempat yang lebih baik, iaitu di syurga.” Michele percaya bahawa apabila ayahnya meninggal dunia, dia akan bersama Tuhan selamalamanya. Michele merenung, “Syurga memang tempat yang baik!”

Surat kepada orang Ibrani ditujukan kepada orang Yahudi yang percaya kepada Yesus, yang sedang mengalami penganiayaan daripada pihak kerajaan dan agama. Walaupun surat ini ditulis sebelum Bait Suci dimusnahkan pada tahun 70 Masihi, kejatuhan Yerusalem ke tangan orang Rom mungkin berlaku tidak lama selepas itu. Dalam suasana ketakutan ini, penulis menggalakkan orang percaya supaya tetap teguh dalam iman mereka, sambil menyerlahkan bahawa “sebegitu ramai saksi” sebagai teladan iman mereka (Ibrani 12:1). Setiap saksi itu “belum menerima janji itu. Akan tetapi, setelah melihatnya pada masa yang akan datang mereka yakin terhadapnya” (11:13). Mereka hidup dalam iman, sambil merindukan “tempat yang lebih baik, iaitu di syurga”. Tuhan berkenan dikenali sebagai Tuhan mereka, dan Dia “telah menyediakan sebuah kota untuk mereka” (11:16).

Walaupun Michele merasakan kesedihan yang mendalam ketika ayahnya meninggal, dia memegang janji-janji daripada Bapa Syurgawinya. Kita juga boleh menyambut janji-janji itu “dari jauh” (ayat 13 TMV), dengan mempercayai Tuhan dalam segala keadaan.