Seorang pemandu e-panggilan, Uber yang bernama Esbon Kamau telah mengambil seorang penumpang berumur enam belas tahun yang dalam perjalanan untuk membeli sebuah motosikal—hadiah daripada ayahnya. Setelah Kamau menurunkan penumpang itu, dia menyedari bahawa remaja itu tertinggal sebuah beg di kerusi belakang. Beg itu mengandungi $8,000—wang tunai yang diperlukan untuk membeli motosikal itu. Kamau segera menghubungi Uber untuk mencari penumpang itu. Tidak lama kemudian, Kamau berjaya memulangkan semula wang itu kepada remaja yang sangat bersyukur dan lega. “Lakukan perkara yang betul pada masa yang tepat,” kata Kamau, “dan jangan biarkan sifat ego menguasai diri kamu.”
Kamau menunjukkan keikhlasan. Dia menolak peluang untuk mendapatkan wang dengan cara cepat atau mengambil kesempatan daripada kesilapan orang lain. Sebaliknya, dia memilih untuk melakukan perkara yang betul sahaja. “Orang yang hidup dalam keikhlasan, aman jalannya,” kata Amsal (10:9). Apabila kita mengamalkan keikhlasan, kita tidak perlu risau tentang apa yang telah dikatakan atau kepada siapa, kerana hanya kebenaran yang penting. Apabila kita mengamalkan keikhlasan, kita tidak perlu takut reputasi terjejas atau muslihat terbongkar. Dan kita tidak seharusnya berasa takut untuk menjadi orang yang jalan terpesongnya “akan diketahui” (10:9). Kita hanya perlu hidup dengan ikhlas—menunjukkan hikmat (10:13) yang datang daripada Tuhan. Kita selamat dan bebas di dalam Dia.
Kita akan menghadapi banyak godaan untuk berbohong atau memanipulasi orang dalam hidup, tetapi Tuhan memanggil kita untuk berjalan bersama-Nya. Dengan berbuat sedemikian, kita dapat menjalani kehidupan yang ”tulus”, tanpa cela (10:29).
Bagaimanakah anda mengalami keikhlasan orang lain?
Tolong aku supaya dapat hidup tulus di dalam-Mu.
ILHAM
Dalam kitab Amsal, Salomo memberikan hikmat asas untuk kehidupan dan sering menggunakan gaya puisi Ibrani yang dipanggil paralelisme. Gaya ini melibatkan dua atau lebih baris puisi yang saling berkaitan. Paralelisme dan gaya puisi lain merupakan ciri biasa puisi Ibrani yang tidak menggunakan rima serta ritma seperti puisi Barat.
Dalam paralelisme sinonim (synonymous parallelism), idea dalam bahagian pertama ayat diulang dalam bahagian kedua tetapi menggunakan kata-kata yang berbeza, contohnya: “Hai anakku, jangan pandang sepi pengajaran TUHAN, dan janganlah berasa geram terhadap teguran-Nya (3:11). Amsal 10:9 pula ialah contoh paralelisme antitetik (antithetical parallelism). Melalui gaya ini, dua pernyataan dibandingkan dengan bahasa yang bertentangan: “Orang yang hidup dalam keikhlasan, aman jalannya, tetapi sesiapa memesongkan jalannya akan diketahui juga.” Melalui ayat ini, Salomo menyingkap kebodohan orang yang mengabaikan hikmat Tuhan dan menunjukkan akibat daripada kebodohan tersebut. Pada hari ini, Tuhan akan menolong kita untuk hidup menurut hikmat-Nya supaya kita dikenal sebagai orang yang hidup dalam integriti.
