Kazuto dan isterinya, Migiwa, sedang menunggu keputusan pemeriksaan ultrabunyi dengan perasaan cemas. Hati Migiwa telah mengalami kegagalan fungsi selama lebih daripada sembilan bulan, dan dia amat memerlukan pemindahan hati dengan segera. Kazuto boleh mendermakan sebahagian hatinya kepada isterinya, tetapi ada satu syarat: jantung Migiwa mestilah sihat dan kuat. Keputusan ultrabunyi sebelum itu menunjukkan tanda-tanda pemulihan pada jantungnya. Adakah kali ini mereka akan mendengar berita yang lebih baik lagi?

Namun, apa yang mendukacitakan ialah keputusan kali ini adalah yang paling buruk setakat ini. Kazuto berkongsi: “Selepas saya memujuk isteri saya yang menangis, saya juga menangis sendirian. Tetapi … seperti yang ditulis oleh ahli teologi, Henri Nouwen, menunggu bukanlah sesuatu yang sia-sia kerana Tuhan sedang memupuk sesuatu yang indah … sementara kita menunggu, walaupun kita tidak nampak apa-apa dari luar.”

Keyakinan Kazuto terhadap Tuhan selari dengan keyakinan Raja Daud, yang dia menulis, “Nantikanlah TUHAN; tabahkan dirimu, teguhkan hatimu. Ya, nantikanlah TUHAN!” (Mazmur 27:14). Kerana TUHAN ialah “cahayaku,” “penyelamatanku,” dan “kekuatan hidupku” (27:1), kita boleh percayai bahawa Dia akan menawarkan harapan di tengah kegelapan (27:3), memberi penghiburan ketika kita menghadapi ujian hidup (27:13), dan menjaga kita supaya selamat di dalam “astaka-Nya” (27:5).

Apabila Tuhan seolah-olah lambat untuk menjawab doa kita, kita masih boleh meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada sifat-sifat-Nya yang tidak berubah. Sambil kita membawa segala kepedihan hati kepada-Nya, semoga firman Tuhan terus meneguhkan hati kita: “Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu. Ya, nantikanlah TUHAN!” (ayat 14). Dia menyertai kita dan sentiasa bekerja demi kebaikan kita.