Sahabat saya, José, berada dalam jagaan hospis (penjagaan bagi pesakit yang tidak lagi boleh disembuhkan). Semasa lawatan saya sebelumnya, dia masih sedar dan banyak bercakap, tetapi seminggu kemudian, dia menjadi sangat lemah dan tidak dapat berkata-kata. Namun, saya tetap duduk bersama José dan keluarganya, berharap kehadiran saya membawa penghiburan kepada mereka. Pada lawatan terakhir saya, saya merupakan orang terakhir di dalam bilik bersamanya. Saya bangun dan perlahan-lahan berjalan ke pintu, kemudian berhenti dan berpaling sekali lagi untuk berkata, “Saya sayang kamu,” tanpa mengharapkan sebarang balasan. Pada saat itu, saya melihat José menggerakkan bibirnya. Dia membisikkan kata-kata, “Saya sayang kamu,” sebagai balasan.
Kata-kata terakhir seseorang boleh meninggalkan kesan yang mendalam. Ketika Yesus bersiap untuk kembali kepada Bapa-Nya di syurga selepas kematian dan kebangkitan-Nya, Dia meyakinkan murid-murid-Nya bahawa segala kuasa di syurga dan di bumi adalah milik-Nya (Matius 28:18). Dia juga meninggalkan satu amanat yang kekal kepada mereka, iaitu Amanat Agung: “Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku … ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu” (ayat 19-20). Kristus juga meyakinkan para pengikut-Nya bahawa Dia akan sentiasa bersama mereka (ayat 20).
Kata-kata terakhir Yesus juga ditujukan kepada kita pada hari ini. Marilah kita menyahut panggilan-Nya untuk memberitahu orang lain tentang Dia, supaya mereka dapat mengalami kasih dan pengampunan-Nya, hidup bagi-Nya, dan menikmati hidup yang kekal bersama-Nya di syurga. Berita tentang Yesus sangat baik, jadi kita tidak boleh simpan sendiri tetapi kita perlu berkongsi dengan semua orang di seluruh dunia.
dengan orang lain.
ILHAM
Matius 28:16-20, yang mengandungi Amanah Agung untuk “pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku,” ialah salah satu daripada beberapa teks yang mempunyai maksud yang serupa. Markus 16:15 berkata, “pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan.” Lukas 24:47 menyatakan bahawa “pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yerusalem.” Dalam Yohanes 20:21, Yesus berkata, “Sebagaimana Bapa mengutus-Ku, begitulah Aku mengutusmu.” Dan Kisah Para Rasul 1:8 berkata, “kamu akan menerima kuasa apabila Roh Kudus datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi.”
Sebaik sahaja Roh Kudus dicurahkan pada Hari Pentakosta (lihat Lukas 24:49; Kisah Para Rasul 2), para pengikut awal Kristus segera mentaati Amanah Agung tersebut. Pada hari ini, kita juga dipanggil untuk meneruskan misi menyampaikan berita baik kepada semua orang di mana-mana jua.
