Baru-baru ini, saya pergi ke Los Angeles dan perlu menyewa sebuah kereta. Tidak lama kemudian, saya memandu di jalan-jalan sempit di pusat bandar yang sesak dengan kenderaan dan orang ramai. Saya mendapati diri saya memandu dengan sangat berhati-hati dan lebih perlahan daripada biasa. Mengapa? Kerana saya tidak mahu berlaku kemalangan. Lebih-lebih lagi, saya benar-benar tidak mahu merosakkan kereta sewaan tersebut. Kereta itu bukan milik saya—saya hanya meminjamnya.

Kebanyakan masa, kita lebih suka menjadi pemilik daripada penyewa. Namun ketika memandu, saya terfikir bahawa menyewa kereta itu menggambarkan sesuatu yang penting tentang hubungan saya dengan Tuhan.

Alkitab mengajar bahawa tubuh kita—yang kita sangka milik kita sendiri—sebenarnya bukanlah milik kita. Dalam perbincangan tentang dosa seksual dalam 1 Korintus 6, Paulus menyimpulkan, “Kamu tentu tahu bahawa tubuhmu itu tempat kediaman Roh Kudus yang telah dikurniakan Allah kepadamu. Tubuhmu bukanlah milikmu, tetapi milik Allah. Allah telah membelimu dengan harga yang sudah dibayar sepenuhnya. Oleh itu, gunakanlah tubuhmu untuk memuliakan Allah” (ayat 19-20).

Saya mengaku, sukar untuk benar-benar memahami bahawa tubuh saya bukanlah milik saya sendiri. Namun, Tuhan memanggil kita memuliakan-Nya dengan tubuh kita—menjaga tubuh kita dan menyedari bahawa kita hanyalah pengurus, atau seperti penyewa, kepada tubuh yang diberikan Tuhan. Kita menggunakannya untuk memuliakan dan melayani Dia, Kristus yang tubuh-Nya terluka dan telah mencurahkan darah-Nya untuk menyelamatkan kita.