Pablo meninggalkan rumah ketika masih remaja, kerana ayahnya ketagihan alkohol dan sering mendera ibunya. Dia tinggal bersama bapa saudaranya, kemudian menamatkan persekolahan, berkahwin, dan mempunyai tiga orang anak. Namun, malangnya, Pablo mula mengulangi tingkah laku ayahnya yang membawa kemusnahan, tabiat yang dia berusaha untuk meninggalkannya. Ketagihan alkohol dan sikapnya sendiri mula menghancurkan keluarganya. Tidak lama kemudian, semuanya hilang—perkahwinan, keluarga, pekerjaan dan rumahnya. “Hidup saya sangat teruk, dan menjadi semakin hancur,” katanya.
Akhirnya, Pablo mendapatkan bantuan di sebuah pusat rawatan. “Keadaan saya sangat parah, dan Tuhan membuka jalan bagi saya.” Suatu hari selepas berdoa, dia merasakan kehadiran Tuhan melalui keindahan alam semula jadi. Tidak lama kemudian, anak perempuan bongsunya menyedari perubahannya, dan berdamai dengannya. Kini Pablo sedang berusaha membina semula kepercayaan dengan anak-anaknya yang lain.
Dalam kitab Ratapan, nabi Yeremia menangisi keadaan bangsanya yang berpaling daripada Tuhan dan dibuang negeri ke Babel: “Ingatlah kesengsaraanku dan pengembaraanku, pahit getir dan racun itu … jiwaku tertekan dalam diriku” (Ratapan 3:19-20). Seperti orang Israel, Pablo pernah jauh daripada Tuhan. Dan seperti Yeremia, dia menemukan harapan dalam Tuhan: “Kerana kasih setia TUHAN tidak pernah lenyap, belas kasihan-Nya tidak akan pudar. Semuanya baru setiap pagi. Besarnya kesetiaan-Mu!” (ayat 22-23).
Seperti Pablo, orang Israel mendapat permulaan yang baharu. Kita juga boleh kembali kepada Tuhan dan menemukan harapan.
Bagaimanakah Tuhan mengajak anda untuk
berharap kepada-Nya?
ILHAM
Dalam Alkitab bahasa Ibrani (Perjanjian Lama), kitab-kitab biasanya dinamakan berdasarkan perkataan pertama atau beberapa perkataan awal dalam teks tersebut. Oleh itu, tajuk Ibrani bagi kitab Ratapan ialah “Betapa,” iaitu istilah yang diambil daripada ayat pertama: “Betapa sunyinya kota itu.” Terjemahan Perjanjian Lama ke dalam bahasa Yunani (Septuaginta) pula menamakan kitab tersebut sebagai “Ratapan.” Kedua-dua tajuk ini sangat sesuai. Dalam banyak mazmur bergaya ratapan, seruan pemazmur berakar daripada ungkapan “Berapa lamakah, ya TUHAN?” (lihat Mazmur 13:1). Ratapan Yeremia dalam nubuatnya dan kitab Ratapan begitu konsisten sehingga dia sering dikenali sebagai “nabi yang menangis.” Dalam teks hari ini (Ratapan 3:19-26), Yeremia sedang meratapi kota Yerusalem yang telah dikepung dan ditawan oleh orang Babel. Kini, ketika melihat kota itu menjadi sunyi dan hancur, Yeremia menemukan pengharapan dalam Tuhan yang setia, yang belas kasihan-Nya “baru setiap pagi” (ayat 23). Walaupun dalam saat keputusasaan dan kehilangan yang paling mendalam, kita tetap boleh berharap kepada Tuhan.
