Filem A Hidden Life (Kehidupan Tersembunyi) menceritakan kisah benar seorang petani Austria bernama Franz Jägerstätter semasa Perang Dunia Kedua. Dia jijik dengan kekejaman Nazi dan percaya bahawa hanya Yesus adalah Tuhan, maka Franz enggan bersumpah setia kepada Hitler lalu ditangkap. Selebihnya filem itu menampilkan penderitaan yang dialaminya akibat pendiriannya yang berani.

Penduduk kampung Franz memandang hina kepadanya kerana dia menentang rancangan Hitler. Rakan-rakan banduan mengejek imannya, malah ada pastor yang menganggapnya bodoh. “Tuhan tidak peduli apa yang kamu kata, yang penting apa yang ada di hatimu,” kata seseorang dalam filem itu, memujuk Franz supaya berpura-pura memberi hormat kepada Hitler demi menyelamatkan nyawanya. Dalam tekanan untuk menarik balik pendiriannya, Franz berdoa, “Batu perlindunganku, kubu pertahananku, berilah aku kekuatan untuk mengikut-Mu.”

Mazmur 31 ialah doa seorang yang menghadapi kuasa jahat. “Jadilah batu pejal tempat aku berlindung, kubu pertahanan untuk keselamatanku” (ayat 2), inilah seruan Daud ketika dia berhadapan dengan musuh-musuhnya (ayat 4, 11). Dalam kehidupan yang penuh penderitaan dan penghinaan daripada negara-negara jirannya, Daud rindu untuk tetap setia walaupun berada di bawah tekanan (ayat 3, 10-13). Dia berdoa: “Ke dalam tangan-Mu kuserahkan rohku,” (ayat 5), kata-kata yang kemudian diucapkan oleh Yesus di kayu salib (Lukas 23:46).

Tuhan kita tidak pernah membiarkan kesetiaan yang berharga menjadi sia-sia. Franz Jägerstätter tetap setia hingga akhir. Seperti Yesus, kesetiaan itu membuat dia sanggup mengorbankan nyawanya. Namun, sebagaimana Yesus dibangkitkan daripada kematian, Franz juga akan dibangkitkan suatu hari nanti.