Saya pernah mendengar ungkapan ini: “Kita tidak boleh memaksa anak-anak kita untuk percaya. Kita hanya boleh memberi mereka alasan untuk percaya kepada apa yang kita percayai.” Itu satu pemerhatian yang bijak—tetapi bagaimanakah kita melakukannya?

Apabila bercakap tentang nasihat keibubapaan, rasul Paulus biasanya bukan orang pertama yang kita fikirkan. Ini kerana besar kemungkinan dia tidak mempunyai anak. Ibu bapa biasanya lebih suka mendengar nasihat daripada orang yang berpengalaman—orang yang tahu tentang bayi yang tidak tidur malam, cabaran ketika anak menjadi remaja, dan doa untuk anak yang menyimpang. Namun begitu, Paulus (atau Saul) mempunyai sesuatu untuk diajarkan kepada kita.

Saul sedang dalam perjalanan untuk menganiaya orang Kristian apabila Kristus campur tangan. Dia jatuh ke tanah dan menjadi buta (Kisah Para Rasul 9:1-9). Tidak lama kemudian, dia dikunjungi oleh Ananias yang memulihkan penglihatannya dan menjelaskan panggilannya: “Allah nenek moyang kita, telah menetapkan bahawa kamu akan mengetahui kehendak-Nya, dan melihat Yesus Yang Benar serta mendengar suara-Nya. Kamu akan menjadi saksi tentang-Nya kepada semua manusia, termasuk segala yang telah kamu lihat dan dengar itu” (22:14-15). Saul, yang kemudian dikenali sebagai Paulus, benar-benar menjadi saksi Yesus, dan Tuhan memberinya ramai “anak rohani”. Cara “mendidik” Paulus ialah dengan berkongsi apa yang telah dilihatnya, dan berdoa.

Sama ada kita membesarkan anak sendiri atau berhubung dengan orang lain, kita tidak boleh memaksa mereka untuk percaya kepada Kristus. Sebaliknya, kita bersaksi melalui kata-kata dan kehidupan kita tentang apa yang telah kita lihat dan dengar, serta kita berdoa untuk mereka. Tuhan kita, yang mengutus Paulus kepada bangsa-bangsa lain, juga mengutus kita dengan arahan yang sama: Bersaksilah supaya mereka boleh percaya. Kemudian, serahkanlah mereka kepada Bapa kita yang mengasihi mereka.