Ahli teologi dan rahib Jerman, Meister Eckhart, pernah menulis bahawa “betapa kejamnya perbuatan berdusta.” Dalam puisinya, dia membandingkan hubungan yang dibina atas kepercayaan dengan hubungan yang rosak oleh pembohongan. Dia menggambarkan kata-kata yang jujur dan penuh kasih sebagai “rempah yang indah dalam kehidupan seharian.” Sebaliknya, pembohongan seperti gempa dalam fikiran dan racun kepada jiwa: “Kekacauan berlaku dalam fikiran yang tidak lagi dapat mempercayai orang yang pernah dikasihi … satu wabak yang tersebar oleh orang yang tidak berkata benar.”

Gambaran tentang pembohongan yang tersebar seperti wabak mungkin kedengaran keterlaluan.Namun, Alkitab selalu mengingatkan kita bahawa kita harus menganggap serius tentang kesan dan pengaruh penting yang dibawa oleh kata-kata kita. Apabila Paulus menjelaskan kepada orang percaya yang baharu tentang perbezaan hidup sebelum dan selepas bersatu dengan Yesus, kata-kata menjadi fokus utama. Rasul itu menegaskan: “Jangan bercakap bohong satu sama lain, kerana kamu sudah melucutkan dirimu yang lama itu dengan segala kelakuannya dan mengenakan diri yang baru” (Kolose 3:9-10).

Terdapat banyak sebab mengapa kita tergoda untuk berbohong atau memutarbelitkan kebenaran. Kadang-kadang kita berfikir itulah cara terbaik untuk melindungi diri sendiri atau orang lain. Namun, melalui kasih Kristus, dan melalui Roh-Nya yang bekerja dalam hati kita, kita belajar cara hidup yang berbeza—cara yang diubah oleh “belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (3:12). Kita juga belajar bagaimana pengampunan dan kasih dapat membina kepercayaan serta damai sejahtera yang membawa ketenangan kepada jiwa kita (ayat 15).