Ahli teologi dan rahib Jerman, Meister Eckhart, pernah menulis bahawa “betapa kejamnya perbuatan berdusta.” Dalam puisinya, dia membandingkan hubungan yang dibina atas kepercayaan dengan hubungan yang rosak oleh pembohongan. Dia menggambarkan kata-kata yang jujur dan penuh kasih sebagai “rempah yang indah dalam kehidupan seharian.” Sebaliknya, pembohongan seperti gempa dalam fikiran dan racun kepada jiwa: “Kekacauan berlaku dalam fikiran yang tidak lagi dapat mempercayai orang yang pernah dikasihi … satu wabak yang tersebar oleh orang yang tidak berkata benar.”
Gambaran tentang pembohongan yang tersebar seperti wabak mungkin kedengaran keterlaluan.Namun, Alkitab selalu mengingatkan kita bahawa kita harus menganggap serius tentang kesan dan pengaruh penting yang dibawa oleh kata-kata kita. Apabila Paulus menjelaskan kepada orang percaya yang baharu tentang perbezaan hidup sebelum dan selepas bersatu dengan Yesus, kata-kata menjadi fokus utama. Rasul itu menegaskan: “Jangan bercakap bohong satu sama lain, kerana kamu sudah melucutkan dirimu yang lama itu dengan segala kelakuannya dan mengenakan diri yang baru” (Kolose 3:9-10).
Terdapat banyak sebab mengapa kita tergoda untuk berbohong atau memutarbelitkan kebenaran. Kadang-kadang kita berfikir itulah cara terbaik untuk melindungi diri sendiri atau orang lain. Namun, melalui kasih Kristus, dan melalui Roh-Nya yang bekerja dalam hati kita, kita belajar cara hidup yang berbeza—cara yang diubah oleh “belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (3:12). Kita juga belajar bagaimana pengampunan dan kasih dapat membina kepercayaan serta damai sejahtera yang membawa ketenangan kepada jiwa kita (ayat 15).
ILHAM
Paulus mengajar orang yang percaya kepada Yesus supaya hidup dengan setia dan berbuah, “supaya hidupmu layak di hadapan Tuhan, dan kamu mendapat sepenuh keredaan-Nya dalam segala hal” (Kolose 1:10). Dengan menggunakan gambaran menanggalkan pakaian lama dan mengenakan pakaian baru, dia memerintahkan kita “mematikan” segala yang bersifat duniawi (Kolose 3:5-9), lalu mengenakan sifat-sifat Kristus (ayat 10-15). Paulus secara khusus menekankan pentingnya menjauhi percakapan yang merosakkan, seperti “fitnah,” “kata-kata kotor,” dan “bercakap bohong” (ayat 8-9). Kejujuran sangat penting bagi orang percaya kerana Kristus ialah “kebenaran” (Yohanes 14:6). Dalam suratnya yang lain, Paulus menggesa supaya kita “janganlah lagi berdusta” dan harus “bercakap benar sesama manusia” serta “lafazkanlah teguran baik yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar” (Efesus 4:25, 29). Apabila kita “berkata benar dalam kasih” (Efesus 4:15), kita akan menjadi berkat kepada orang lain. Pada masa yang sama, kita juga akan “menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus” (ayat 15 TMV).
