Sepanjang musim panas, kanak-kanak yang tinggal di belakang rumah kami bermain buaian selama berjam-jam. Buaian mereka yang bising berkeriut. Bunyi itu tidak mengganggu kanak-kanak tersebut, yang kelihatan dapat berbuai tanpa henti. Tidak dapat bersabar lagi, saya bersungut kepada suami mengapa ibu bapa mereka tidak melincirkan buaian itu. Namun apabila saya berdoa tentang perkara itu, saya mula merasakan perubahan dalam hati saya. Saya dapat melihat ketawa dan kegembiraan di wajah kanak-kanak itu, lahir daripada rasa aman di halaman rumah sendiri, serta keyakinan bahawa ibu bapa mereka berada berdekatan dan sentiasa sedia dipanggil pada bila-bila masa.

Yesus bercakap tentang kepercayaan seperti ini apabila Dia berbicara mengenai kanak-kanak. Orang ramai membawa anak-anak mereka kepada Yesus supaya Dia memberkati mereka, tetapi murid-murid-Nya yang terganggu menegur dan menghalang ibu bapa tersebut (Markus 10:13).

Apabila melihat hal itu, Yesus “sungguh tidak menyenanginya” (ayat 14). Dia berkata: “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang yang seperti itulah yang empunya Kerajaan Allah.” Dia menambah, “sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, tidak akan masuk ke dalamnya” (ayat 14-15).

Yesus telah mengajar perkara ini kepada murid-murid-Nya sebelum itu, ketika mereka bertengkar tentang siapa yang paling besar. Pada suatu ketika, Dia memeluk seorang kanak-kanak dan berkata: “Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku”(Markus 9:37). Ini menunjukkan maksud yang sama, “Yesus mendukung dan mendakap kanak-kanak kecil itu, meletakkan tangan-Nya ke atas mereka, dan memberkati mereka” (Markus 10:16). Betapa indahnya peringatan tersebut bahawa kita seharusnya mempunyai kepercayaan seperti kanak-kanak kepada Yesus.