Sebagai seorang jurugambar landskap, saya tertarik dengan gambar-gambar yang saya lihat dalam talian. Baru-baru ini, saya menemui satu senarai “10 Tempat Paling Menakjubkan di Amerika Syarikat.” Salah satunya menunjukkan sebuah mata air panas menggambarkan sebuah lembangan besar yang memancarkan pendaran cahaya berbilang warna. Gambar Hutan Hujan Hoh pula memaparkan hutan tebal yang dilitupi lumut, seolah-olah pemandangan yang disebutkan dalam buku The Hobbit menjadi kenyataan. Satu lagi gambar yang menakjubkan boleh ditemukan di Monument Valley, Arizona, yang kelihatan seperti pemandangan di planet Marikh.
Semua gambar yang mengagumkan ini membuatkan saya terfikir tentang Tuhan kita yang mengagumkan. Dalam Mazmur 68, Daud meluahkan kekagumannya terhadap kebesaran Tuhan: “Menyanyilah untuk Allah … sanjungi Dia yang memerintah awan” (ayat 4). Dengan gambaran yang kuat, pemazmur mengisytiharkan kuasa Tuhan ke atas musuh: “Seperti angin meniup asap, ya Allah usirkan mereka” (ayat 2). Namun, kebesaran dan kuasa Tuhan ini diseimbangkan dengan kasih-Nya yang dekat dan peribadi: “Segala puji bagi Tuhan … yang setiap hari memikul beban kita” (ayat 19). Mazmur yang agung ini mencapai kemuncaknya dengan pujian yang penuh kagum: “Ya Allah, Engkau lebih menakjubkan daripada tempat-tempat suci-Mu” (ayat 35).
Dalam gambar landskap, saya melihat keluasan yang besar dan hubungan yang dekat di hati. Pemandangan yang luas itu berbicara secara peribadi kepada jiwa saya. Ia membuatkan saya tertanya-tanya sama ada pemandangan alam di dunia ini sebenarnya menyingkap sedikit tentang Tuhan sendiri—gambaran bahawa Dia sangat besar dan hebat, namun juga penuh kasih yang menakjubkan. Dengan pemikiran ini, marilah kita mencari keindahan Tuhan yang terpancar di sekeliling kita hari ini. Apabila kita melihatnya, mungkin kita akan berbisik kepada-Nya: “Ya Tuhan, Engkau sungguh mengagumkan.”
keindahan-Mu yang menakjubkan.
ILHAM
Mazmur 68 memuliakan Tuhan sebagai pahlawan yang perkasa, yang akan mengalahkan kejahatan (ayat 1-2). Mazmur ini menggunakan gambaran daripada nyanyian dalam Keluaran 15 yang meraikan pembebasan umat Tuhan dari Mesir. Dalam Mazmur 68, Tuhan digambarkan sebagai Dia yang “memerintah awan” (ayat 4) sambil menyerakkan “musuh-musuh-Nya” (ayat 1). Kisah pembebasan dari Mesir itu diakhiri dengan gambaran suatu perarakan kemenangan yang melambangkan Tuhan bersemayam di tempat kediaman-Nya dan memerintah sebagai Raja (ayat 18).
Bahagian seterusnya dalam Mazmur 68 (ayat 19-35) memuji Tuhan yang bertakhta serta mengakui bahawa umat-Nya bergantung sepenuhnya pada-Nya. Pemazmur berseru, “Allahmu telah memerintahkan supaya kami diberi kekuatan; Kukuhkanlah, ya Allah, segala yang telah Kaulakukan untuk kami” (ayat 28). Tuhan ialah pahlawan yang lemah lembut, yang berjuang demi keadilan. Dialah yang “melepaskan mereka yang terikat dan memberi mereka kemakmuran” (ayat 6) dan “setiap hari memikul beban kita” (ayat 19). Pada hari ini, ketika kita merenungkan kebesaran Tuhan, kita dapat bersukacita atas kasih-Nya yang besar kepada kita.
