Antara semua presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter mempunyai tempoh perkahwinan yang paling lama. Dia dan isterinya, Rosalyn, telah berkahwin selama tujuh puluh tujuh tahun. Apabila Carter ditanya tentang rahsia perkahwinannya yang panjang dan berjaya, dia menjawab,“Pilihlah orang yang tepat untuk dikahwini.” Selain itu, dia menyebut tiga perkara lain yang menyumbang kepada kejayaan perkahwinan: perdamaian, komunikasi, dan berpegang teguh pada iman.
Kita melihat prinsip perdamaian dalam Efesus 4:26: “Jangan kekalkan kemarahanmu hingga matahari terbenam.” Keluarga Carter mengambil perkara ini dengan serius. Jimmy pernah berkata, “Setiap malam, kami berusaha memastikan bahawa kami benar-benar telah berdamai sepenuhnya daripada semua pertengkaran yang berlaku sepanjang hari itu.” Kita juga dapat melihat rahsia komunikasi yang mencerminkan Kristus dalam Efesus 4. Paulus menulis: “Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus” (ayat 32).
Tuhan menetapkan perkahwinan sebagai sesuatu yang baik—sesuatu yang ditetapkan oleh-Nya sendiri (Kejadian 2:24; Ibrani 13:4). Amsal 18:22 menyatakan bahawa perkahwinan ialah berkat daripada Tuhan: “Sesiapa yang mendapat isteri, mendapat sesuatu yang baik; serta memperoleh keredaan TUHAN.” Cara kita melayan satu sama lain, sama ada dalam perkahwinan atau dalam seluruh tubuh Kristus, juga dapat mendorong serta memberi kesan yang baik kepada orang lain. Sama ada kita bujang atau berkahwin, kata-kata dan tindakan kita dapat benar-benar mencerminkan hati Kristus yang penuh kasih dan pengampunan.
Apakah maksudnya untuk bersikap penuh belas kasihan dan saling mengampuni pada hari ini?
ILHAM
Efesus 4:26-32 bermula dengan satu kenyataan bahawa kemarahan tidak dapat dielakkan: “Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa.” (ayat 26). Namun, Paulus segera memberi amaran terhadap segala bentuk kemarahan yang mengakibatkan dosa: “Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat” (ayat 31). Penekanan dalam petikan ini, seperti juga dalam surat-surat Paulus yang lain, bukan sahaja terhadap tingkah laku yang memberi “peluang kepada Iblis” (ayat 27) dan “menyedihkan Roh Kudus” (ayat 30), tetapi juga terhadap sikap dan tindakan yang harus menggantikan kehidupan lama kita apabila kita “berubah kepada diri baru yang dicipta menurut teladan Allah dalam perbenaran dan kesucian sejati” (ayat 24). Penyerahan diri kita kepada kebenaran Tuhan yang ajaib membolehkan kita mengikuti teladan-Nya: “Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus” (ayat 32). Dalam setiap hubungan kita, Tuhan menolong kita mencerminkan hati Yesus yang penuh dengan pengampunan.
