Pada suatu hari Khamis, di dewan serbaguna gereja, sandwic dan potongan tembikai telah disediakan untuk orang-orang yang datang berkabung. Mereka duduk di kerusi lipat besi di atas karpet yang sudah lama. Majlis pengebumian itu kelihatan seperti biasa, tetapi yang berbeza ialah pengkhutbahnya. Dia seorang pengkhutbah yang terkenal yang pernah berkhutbah di hadapan ribuan orang di stadium. Namun pada majlis pengebumian itu, dia tetap berkhutbah dengan penuh semangat walaupun hanya kepada sekumpulan kecil pada hari biasa.

Paulus menasihati anak rohaninya, Timotius: “Beritakanlah firman Allah, bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak … laksanakan tugas yang diamanahkan kepadamu” (4:2-5). Seluruh tugas. Bukan hanya tugas-tugas besar di pentas besar dengan lampu yang terang. Tetapi juga tugas harian yang biasa. Ucapan yang tidak akan dirakam atau disiarkan kepada generasi akan datang. Tugas-tugas yang diperhatikan oleh sebilangan kecil orang. Lakukanlah semua itu dengan sebaik-baiknya.

Oleh sebab ada seseorang yang melihat. Paulus mengingatkan Timotius bahawa dia melayani “di hadirat Allah dan Kristus Yesus yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati” (4:1). Pentas anda mungkin kecil, tetapi penonton anda sangat penting. Yesus menantikan pelayanan anda yang bersungguh-sungguh. Lakukanlah untuk Dia, dengan bergantung pada kuasa Roh-Nya. Dia akan dimuliakan apabila anda melayani orang lain dengan rendah hati dan setia.