Michael tidak dapat menahan ketawa ketika Grace bersembunyi di sebalik menu. Mereka sedang bermain sorok-sorok di meja sebuah kafe sambil menunggu makanan tiba. Kanak-kanak

berusia lima tahun itu menyangka bahawa jika dia tidak dapat melihat ayahnya, maka ayahnya juga tidak dapat melihatnya. Keadaan pada waktu itu kelihatan lucu, tetapi apabila Michael merenungkan keadaan itu kemudian, dia menyedari bahawa ia mengandungi satu pengajaran penting: Adakah kita benar-benar percaya bahawa kita dapat menyembunyikan dosa kita daripada Tuhan? Adakah kita fikir bahawa jika kita tidak dapat melihat Dia, maka Dia juga tidak melihat kita?

Dalam Amos 9, Tuhan menyampaikan perkara yang sama melalui nabi-Nya, memberi amaran kepada Israel supaya tidak menyangka mereka dapat melarikan diri daripada penghakiman atas dosa mereka: “Sekalipun mereka menyembunyikan diri … akan Kuburu mereka.” Tuhan berkata, “Aku akan tujukan pandangan kepada mereka” (ayat 3-4). Tiada sesuatu pun dapat terlepas daripada pandangan Tuhan Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

Namun, amaran itu juga disertai dengan pengharapan. Dalam ayat 11-15, Tuhan menjanjikan pemulihan umat-Nya: “Aku akan membina semula khemah Daud yang telah roboh … dan akan Kudirikan semula keruntuhannya” (ayat 11). Selepas menanggung akibat dosa mereka, umat Tuhan akan dipulihkan dan diberkati dengan kelimpahan (ayat 13-15).

Sebagaimana Tuhan melihat kegagalan kita, Dia juga melihat pertaubatan kita, dan Dia sedia mengampuni serta memulihkan. Sambil kita dikuatkan oleh kebenaran ini, marilah kita berpegang teguh kepada Tuhan kita yang kudus dan benar, yang penuh belas kasihan dan kasih kurnia.