Ketua pegawai eksekutif (CEO) itu sering menyakiti hati pekerja dengan kata-katanya yang tajam. Tiada siapa berani menegurnya; semua orang takut kepadanya, termasuk Gene. Namun suatu hari, CEO itu memarahi seorang pekerja baharu sehingga dia menangis. Apabila Gene melihat semua orang hanya berdiam diri, dia pun bersuara.

“Saya memberitahunya bahawa cara dia memperlakukan orang adalah salah,” kenang Gene. “Dia sangat terkejut; itu kali pertama seseorang berani melawannya. Sikapnya tetap sama, tetapi saya bersyukur kerana saya telah bersuara.”

Alkitab juga menceritakan tentang seorang lelaki lain yang berani menghadapi cabaran yang ditakuti ramai orang. Sama, seorang pahlawan Daud, datang kepada bakal raja itu daripada keadaan yang sukar (rujuk 1 Samuel 22:1-2), tetapi Tuhan memakainya untuk mengalahkan orang Filistin. “Ketika orang Filistin berkumpul di Lehi … larilah seluruh pasukan dari hadapan orang Filistin” (2 Samuel 23:11). Hanya Sama yang berani mempertahankan bekalan makanan Israel, kerana berdiri seorang diri melawan tentera Filistin bererti menghadapi maut. Tetapi Sama “berdiri di tengah-tengah ladang itu, mempertahankannya”(ayat 12).

Tuhan menolong Sama mengalahkan orang Filistin (ayat 12). Walaupun dia mungkin satu-satunya orang Israel di ladang itu, dia tidak bersendirian—Tuhan bersamanya dan memberi kemenangan besar pada hari itu. Ada kalanya kita juga dipanggil untuk bangkit menghadapi cabaran yang orang lain cuba elakkan. Seperti Sama, marilah kita berdiri teguh dengan bersandar pada kehadiran dan pertolongan Tuhan.