Para penyelidik mendapati bahawa sejenis cicak air kecil (water anole) dapat berada di dalam air selama 20 minit tanpa menarik nafas baharu. Cicak kecil ini mempunyai kulit yang menolak air, dan selepas menyelam, ia menghembuskan gelembung udara yang melekat pada muncungnya. Makhluk yang bijak itu kemudian menyedut semula gelembung tersebut berulang kali—sesuatu yang dipercayai oleh saintis sebagai proses kitar semula udara yang terperangkap. Walaupun cicak air ini memiliki kemampuan istimewa, seperti banyak makhluk lain, cicak-cicak air tetap perlu bernafas untuk hidup.
Dalam Kejadian 2, kita membaca bahawa Tuhan “menghembuskan nafas hidup ke dalam hidung [Adam] lalu manusia menjadi makhluk yang hidup” (ayat 7). Ketika Dia menciptakan segala sesuatu di “langit dan bumi” (ayat 4), Dia juga mencipta manusia daripada “debu tanah” (ayat 7). Namun, nafas hidup daripada Tuhan yang menjadikan ciptaan-Nya benar-benar hidup. Dia mengubah manusia pertama menjadi makhluk yang hidup—jiwa yang hidup. Kemudian, Dia membentuk Hawa daripada rusuk Adam (ayat 22). Sebagai makhluk yang mempunyai kehidupan rohani, kita dapat menikmati persekutuan dengan-Nya melalui iman kepada Kristus. Yesus “menghembuskan nafas-Nya” ke atas murid-murid dan berkata, “Terimalah Roh Kudus” (Yohanes 20:22). Seorang pentafsir menulis bahawa “‘hembusan’ Roh Kudus ini penting supaya manusia dapat menikmati persekutuan dengan Tuhan.”
Setiap nafas yang kita hirup adalah rahmat Tuhan untuk hidup fizikal. Sebagai orang percaya, nafas itu juga mencerminkan hidup kekal kita, dan Roh yang memberi hidup tinggal di dalam diri kita (Roma 8:11).
hidup kekal dan nafas hidup-Mu.
ILHAM
Sastera Ibrani kuno sering menyampaikan makna melalui permainan kata yang disengajakan. Dalam Kejadian 2, perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “manusia”—’adam (Kejadian 2:7) sangat mirip dengan perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “tanah”—’adamah (ayat 5-7). Jika terjemahan moden cuba mengekalkan permainan kata ini, mungkin “manusia” (adam) diterjemahkan sebagai “makhluk bumi”, manakala “tanah” (adamah) sebagai “bumi.” Dengan menghubungkan kedua-dua perkataan ini, petikan tersebut menyampaikan satu pemahaman penting tentang hakikat manusia. Manusia dibentuk daripada tanah (ayat 7), maka manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan bumi. Namun begitu, manusia juga diberikan hubungan yang istimewa dengan Tuhan, yang menghembuskan “nafas kehidupan” ke dalam manusia (ayat 7). Setiap nafas yang kita hirup menjadi peringatan tentang rahmat kehidupan jasmani yang dikurniakan oleh Tuhan.
