Selepas air banjir akibat Taufan Helene hampir memusnahkan sebuah bandar kecil di North Carolina pada tahun 2024, seorang pastor tempatan mengalami waktu-waktu yang mendorongnya. Ketika dia berusaha untuk menjawab soalan yang sering diajukan, “Apakah yang anda perlukan?” sumbangan terus datang tepat pada waktu yang diperlukan. Perlu pengecas telefon? Tiba-tiba seorang lelaki datang membawa generator dan menyediakan tempat mengecas di gereja. Perlu air minuman? Tidak lama kemudian, beberapa palet botol air pun sampai.

Adakah semua ini berlaku secara kebetulan? Sama sekali tidak, menurut firman Tuhan: “Allahku akan membekalkan segala keperluanmu daripada kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus” (Filipi 4:19). Janji ini mungkin kelihatan mustahil bagi sebuah bandar yang hampir dimusnahkan oleh air setinggi 9 meter. Namun Paulus yang menulis kata-kata ini sewaktu dipenjarakan, amat memahami tentang penderitaan.

Paulus menulis kepada jemaah di Filipi untuk berterima kasih atas sumbangan kewangan mereka yang sangat diperlukannya. Selain mereka, gereja-gereja lain telah mengabaikan Paulus (ayat 15). Namun Tuhan memakai jemaah di Efesus untuk memenuhi keperluannya. Maka Paulus memuji kebesaran Tuhan, yang membekalkan segala keperluannya daripada “kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus” (ayat 19). Di dalam Dia, kita menerima “segala berkat rohani” (Efesus 1:3). Sukacita, damai, kebenaran dan penyelamatan adalah antara berkat yang disediakan-Nya untuk kita. Dengan kasih-Nya, Dia juga dapat menyediakan air minuman jika itu yang kita perlukan. Dialah Tuhan yang pemurah dan penyayang!