Artis zaman Renaissance, Albrecht Dürer, menjadi terkenal kerana bakatnya pada usia dua puluh tahun. Pengkritik seni pada zamannya menggelarnya sebagai “minda terhebat yang mengekspresikan dirinya melalui garisan.” Apabila kemasyhurannya semakin tersebar, golongan berpengaruh cuba mengupahnya dengan pelbagai janji kemewahan dan kesenangan. Bahkan artis terkenal lain seperti Giovanni Bellini dan Raphael juga mengagumi karyanya.
Dalam potret diri yang dianggap oleh para pakar sebagai karyanya yang terbaik, Dürer menggabungkan ciri-ciri fizikalnya sendiri dengan gambaran wajah Yesus mengikut imaginasinya. Dia melukis dirinya dengan rambut panjang beralun, berjanggut, dan mata yang seakan-akan memancarkan tujuan ilahi. Walaupun ramai menganggap lukisan ini sebagai satu tanda keangkuhan Dürer terhadap dirinya, orang lain yang mengenalinya percaya bahawa Dürer sebenarnya ingin menjalani kehidupan yang membolehkan orang melihat Yesus dalam dirinya.
Jika kita benar-benar mengenal Kristus, hal ini pastinya menjadi kerinduan kita. Dengan percaya kepada-Nya dan menerima kematian serta kebangkitan-Nya sebagai dasar hubungan kita dengan Tuhan, ini bererti kita kini harus hidup untuk Yesus—bukan lagi untuk diri sendiri (Galatia 2:19). Kita hidup untuk-Nya, dan Dia hidup dalam kita serta bekerja melalui kita. Rasul Paulus menyatakan hal ini tentang tentang perubahan rohaninya: “Bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalam aku” (ayat 20). Kiranya kemuliaan Kristus bersinar melalui kehidupan kita hari ini supaya dunia dapat melihat-Nya dalam diri kita.
ILHAM
“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah” (Yohanes 12:24). Kristus mengucapkan kata-kata ini pada minggu Dia disalib. Kebenaran inilah yang difahami oleh Paulus ketika dia menulis kepada mereka yang berada dalam bahaya kerana bergantung pada hukum Taurat untuk memperoleh keselamatan. Dalam Roma 3:10-20, dia menjelaskan dengan terperinci mengapa ketaatan kepada hukum Taurat tidak akan dapat menyelamatkan manusia. Kemudian dia menerangkan bahawa “tanpa hukum Taurat, perbenaran Allah telah dinyatakan” (ayat 21). “Perbenaran Allah hanya melalui iman kepada Yesus Kristus bagi semua yang percaya” (ayat 22). Paulus seterusnya berkata: “Aku telah disalib bersama Kristus, bukanlah aku lagi yang hidup … Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Anak Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku” (6:6). Oleh sebab “Kristus hidup” di dalam dirinya (Galatia 2:20), Paulus dapat menjalani hidup yang memuliakan Tuhan serta menarik orang lain kepada Kristus. Pada hari ini, Tuhan akan menolong kita menyerahkan hidup kita di bawah pimpinan Roh Kudus supaya orang lain dapat melihat Kristus di dalam kita.
