Di Teluk Monterey, California, Amerika, seorang kapten bot ternampak 15 ekor ikan lumba-lumba jenis sisi putih Pasifik berenang bersama satu kelompok super, yang terdiri lebih daripada 2,000 ekor lumba-lumba. Biasanya, lumba-lumba yang berlainan jenis dan umur akan berkumpul dalam kumpulan untuk melindungi diri daripada pemangsa, mencari makanan, serta bermain dan bersosial. Tetapi, kumpulan yang sangat besar dan pelbagai jenis seperti demikian jarang sekali dapat dilihat.
Alkitab mencatat satu perhimpunan luar biasa. Perhimpunan tersebut melibatkan orang daripada berbilang bangsa, yang menjadi asas sangat penting dalam sejarah iman kita. Ketika para murid merayakan Hari Pentakosta di Yerusalem, “tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk” (Kisah Para Rasul 2:2). Setiap mereka “dipenuhi Roh Kudus,” yang membolehkan mereka bertutur dalam pelbagai bahasa asing (ayat 4). Pada masa itu, ada juga orang Yahudi “daripada segala bangsa di bawah langit” telah berkumpul untuk merayakan perayaan Hari Pentakosta (ayat 5). Apabila mereka pergi melihat bunyi yang kuat itu, mereka “masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya” (ayat 6). Kemudian Petrus memberitakan bahawa Yesus adalah “Tuhan dan Penyelamat” (ayat 36 TMV). Kira-kira tiga ribu orang menjadi percaya dan dibaptis (ayat 41). Apabila umat Tuhan hidup dalam persekutuan dengan cara yang belum pernah berlaku sebelumnya, Dia “menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan” (ayat 47).
Dengan kuasa Roh Kudus, umat Tuhan di seluruh dunia terus berkumpul untuk bertumbuh dalam persekutuan dan mengakui Yesus sebagai Tuhan. Melalui kita, Dia akan terus memperluas kerajaan-Nya.
ILHAM
Perayaan Menuai (IMAMAT 23:15-22), yang dikenali sebagai Hari Pentakosta dalam Perjanjian Baru (KISAH PARA RASUL 2:1), merupakan salah satu daripada tujuh perayaan yang diperintahkan oleh Tuhan untuk diperingati oleh umat-Nya (LIHAT IMAMAT 23). Perayaan ini, yang diraikan pada musim menuai (musim bunga), juga merupakan salah satu daripada tiga perayaan utama yang mewajibkan umat Israel datang ke Bait Suci di Yerusalem untuk mempersembahkan korban mereka (ULANGAN 16:1-16).
Dalam Perjanjian Baru, Hari Pentakosta dirayakan 50 hari selepas Hari Paskah, hari yang Yesus bangkit daripada kematian (YOHANES 18:28). Ia diperingati sebagai hari lahir gereja, iaitu hari apabila Tuhan mengurniakan Roh Kudus untuk tinggal di dalam setiap hati orang yang percaya kepada Kristus, serta menjadikan mereka anggota keluarga Tuhan (ROMA 8:15-16). Dengan meneladani amalan gereja awal, umat Tuhan pada hari ini terus bertumbuh sebagai sebuah masyarakat, bersekutu bersama, menyembah-Nya dengan sukacita, mempelajari Alkitab dengan tekun, saling menjaga dengan penuh kasih, serta dengan berani memberitakan Yesus sebagai Juruselamat kepada dunia yang belum percaya kepada-Nya (KISAH PARA RASUL 2:42-48).
