Sebelum pergi ke Switzerland, saya membayangkan pergunungan Alps yang bersalji, kambing sedang meragut rumput, dan para petani meniup Alphorn (sejenis trompet logam yang panjang). Namun, ketika kami memandu ke arah selatan dari Zurich, pemandangannya hanyalah rangkaian lebuh raya yang membosankan seperti di mana-mana bandar lain. Apabila kami semakin hampir ke tempat penginapan, kami terpaksa memandu melalui jalan tanah sempit yang berbahaya. Setibanya di rumah sewaan, kami mengangkat beg pakaian menaiki tangga batu yang curam. Dalam keadaan letih dan kecewa, akhirnya kami melangkah ke beranda. Di situlah, terbentang di hadapan kami suatu pemandangan yang luar biasa: pergunungan Alps menjulang megah di hamparan biru Tasik Lucerne, dengan pekan-pekan kecil berkelip seperti kunang-kunang di bawah kami. Segala kepayahan itu ternyata berbaloi.
Saya teringat ayat Alkitab ini, “dengan demikian, kami tidak tawar hati” (2 Korintus 4:16). Rasul Paulus menulis tentang pergelutannya sendiri: “dalam segala hal kami dihimpit, tetapi tidak hancur” (ayat 8). Dia menyatakan pandangan yang penuh pengharapan: “kesusahan yang ringan dan hanya sedetik ini membawa bagi kami kemuliaan yang kekal tanpa bandingan” (ayat 17). Dia menasihati kita supaya “mementingkan … hal-hal yang tidak kelihatan” (ayat 18), iaitu berharap kepada pemandangan kekal itu.
Kadang-kadang perjalanan hidup kita terasa membosankan dan sukar. Namun, di dalam Kristus, kita diyakinkan bahawa kita akan menyaksikan gambaran yang paling unggul dan sempurna. Segala kepayahan itu bakal berbaloi, kerana kemuliaan-Nya yang kekal jauh lebih hebat daripada apa yang kita boleh bayangkan.
ILHAM
Galakan mengenai penderitaan yang dinyatakan oleh rasul Paulus dalam 2 Korintus 4:7-18 juga dicatat dalam Roma 8: “Aku menganggap bahawa penderitaan kita sekarang terlalu kecil untuk dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan kepada kita” (AYAT 18). Sungguh menguatkan hati apabila kita mengetahui bahawa sebagai orang yang percaya kepada Yesus dan hidup dalam dunia yang telah jatuh ke dalam dosa, kita telah dikurniakan Roh Kudus (AYAT 23) untuk menyertai kita ketika menempuh perjalanan hidup, sama ada pada waktu senang mahupun susah. Apabila kita menghadapi pelbagai ujian hidup, Alkitab mengingatkan kita bahawa semua penderitaan yang kita alami “membawa bagi kita kemuliaan yang kekal tanpa bandingan” (2 KORINTUS 4:17).
