“Dulu aku pernah membunuh orang,” kata Tanitan, “tetapi sejak aku memilih untuk percaya kepada Yesus Kristus, Dia tidak membenarkan aku melakukan perkara sebegitu lagi.” Tanitan ialah ahli suku Ilngot, dari Pergunungan Sierra Madre di Filipina, yang berasal daripada budaya memburu kepala manusia (amalan membunuh manusia dan memenggal kepala mereka). Apabila membandingkan kehidupannya sebelum mengenal Tuhan dengan kehidupannya sekarang, dia berkata, “Dulu, aku takut mati tetapi tidak takut membunuh. Sekarang, aku takut membunuh tetapi tidak takut mati.”
Semasa saya membaca kisah Tanitan dalam buku To the Headhunters of Sierra Madre (Kepada Pemburu-Pemburu Kepala Sierra Madre), yang ditulis oleh Florentino Santos, saya terfikir bagaimana rasa takut atau hormat kepada Tuhan yang baru ditemui membuatkan dia ingin taat kepada Tuhan. Saya teringat kata-kata Musa kepada bangsa Israel sebelum mereka memasuki tanah yang dijanjikan oleh Tuhan: “Apakah yang dituntut TUHAN, Allahmu, daripada dirimu? Tidak lain daripada takut kepada Tuhan” (Ulangan 10:12). Jika kita takut dan hormat kepada Tuhan, maka kita akan mentaati Dia. Umat Tuhan haruslah “hidup menurut segala jalan-Nya, mengasihi-Nya … serta berpegang teguh pada segala perintah TUHAN dan segala kanun-Nya” (ayat 12-13).
Sebagai seorang yang percaya kepada Yesus, rasa hormat yang mendalam terhadap kekudusan Tuhan akan mendorong kita membenci kejahatan dan melakukan apa yang berkenan kepada-Nya (Amsal 8:13). Marilah kita memohon kepada-Nya agar menolong kita menjadikan rasa takut akan Tuhan sebagai satu cara hidup kita.
ILHAM
“Musa memanggil semua orang Israel” (ULANGAN 5:1), dan dia mula mengingatkan mereka secara terbuka tentang perjanjian Tuhan dengan umat-Nya. Pada waktu itu, mereka hampir menyeberangi Sungai Yordan (YOSUA 3), manakala Musa tidak lama lagi akan menyeberangi Yordan secara “kiasan” untuk memasuki kehidupan abadi (ULANGAN 34:7). Sebahagian besar ucapannya mengimbas kembali pemberontakan bangsa Israel sepanjang empat puluh tahun pengembaraan mereka selepaskeluar dari Mesir (9:7-24). Walaupun dia meyakinkan mereka bahawa mereka akan berjaya mendiami tanah yang dijanjikan itu, Musa juga memberikan amaran, “Ketahuilah bahawa bukan kerana kesalihanmu, maka TUHAN, Allahmu, mengurniakan kepadamu negeri yang baik itu untuk diduduki” (AYAT 6). Sebaliknya, semuanya terjadi kerana Tuhan telah memilih mereka, meskipun mereka sering gagal mentaati-Nya: “Mereka ialah umat-Mu dan harta pusaka-Mu, yang Kaubawa keluar dengan kekuatan-Mu yang besar dan lengan-Mu yang terhulur” (AYAT 29). Oleh sebab Tuhan ialah Tuhan mereka, bangsa Israel harus hidup menurut kehendak-Nya. Walaupun kekudusan-Nya tidak mengizinkan dosa, Roh-Nya memampukan setiap orang yang percaya kepada Yesus pada hari ini untuk “takut kepada TUHAN”, “menurut segala jalan-Nya”, dan “beribadat kepada[-Nya]” (10:12).
