Telefon pintar saya kadangkala mengingatkan saya bahawa saya tidak begitu pandai menjaga “kebersihan digital”. Bunyi mesejnya, “Fail sampah mengambil ruang storan.” “Padam 675MB fail sampah.” Saya sebenarnya tidak suka ditegur oleh telefon saya. Tetapi jika fail-fail sampah itu dibersihkan, saya akan mempunyai lebih banyak ruang untuk fail-fail yang benar-benar penting. Contohnya, apabila saya berada di pertandingan renang anak perempuan saya, akan ada storan yang cukup untuk merakam video sewaktu dia memenangi perlumbaan, bukannya tiba-tiba menyedari bahawa “fail sampah” yang menjengkelkan itu telah menghalang peluang saya untuk merakam detik tersebut.

Fail sampah dalam telefon mudah dipadamkan. Tetapi bagaimanakah pula dengan “fail sampah” dalam jiwa kita? Seperti telefon, jiwa kita juga boleh dipenuhi perkara-perkara yang menghalang pertumbuhan rohani kita. Penulis kitab Ibrani memahami realiti ini dan menggalakkan kita supaya memberi perhatian terhadap apa sahaja yang menghalang perjalanan kita bersama Tuhan. “Kita hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita,” tulisnya, diikuti dengan cabaran ini: “dan berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita” (Ibrani 12:1).

Apakah yang membebankan anda? Apakah yang sering menjatuhkan anda? Kitab Ibrani menggalakkan kita “mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita (ayat 2), satu-satunya yang dapat menolong kita mengenal pasti dan memadam “fail-fail sampah” yang menghalang kita mengalami kelimpahan hidup di dalam-Nya.