Satu legenda di Perancis pada abad ke-13 menceritakan tentang seorang kesatria yang meninggalkan bayi lelakinya di rumah di bawah jagaan seekor anjing pemburunya yang bernama Guinefort. Apabila kesatria itu pulang, dia mendapati rumahnya bersepah. Buaian terbalik, bayinya hilang, dan mulut anjing tersebut berlumuran darah. Oleh sebab menganggap anjing itu telah mencederakan anaknya, dia terus membunuh haiwan tersebut. Namun tidak lama selepas itu, dia menemui bangkai seekor ular besar yang penuh dengan kesan gigitan anjing, manakala bayinya terselamat tanpa sebarang kecederaan di bawah katil buaian. Rupa-rupanya, Guinefort telah melawan ular itu untuk menyelamatkan bayinya itu. Sifat keberanian dan nasib malang Guinefort yang tidak bersalah amat menyentuh hari orang ramai, sehingga mereka tersilap langkah dengan memuja Guinefort sebagai seorang “santo” (tokoh suci).
Alkitab mencatat peristiwa yang hampir sama, apabila seekor haiwan dihukum secara tidak adil kerana melindungi tuannya. Nabi Bileam telah diupah oleh raja Moab untuk mengutuk umat Tuhan (Bilangan 22:4-6). Dalam perjalanannya, “malaikat TUHAN … dengan pedang terhunus” (ayat 23) menghalang jalannya. Keldai Bileam, yang melihat bahaya itu, cuba mengelak malaikat itu dua kali—namun dipukul kerana tindakannya (ayat 23, 25). Apabila keldai itu tidak mampu lagi mengelak malaikat, ia berhenti bergerak dan sekali lagi dihukum (ayat 26-27).
Akhirnya, Tuhan membuat keldai itu bercakap untuk membela diri (ayat 29-30), kemudian Dia membuka mata Bileam untuk melihat malaikat itu serta mematuhi perintah Tuhan (ayat 31-32).
Kita mungkin tidak akan mendengar haiwan bercakap dengan kita, tetapi Tuhan masih boleh membuka mata kita dengan cara yang tidak dijangka. Apabila itu berlaku, marilah kita bersedia untuk mendengar.
ILHAM
Kita mungkin tertanya-tanya bagaimana Bileam, seorang nabi bukan Yahudi, dapat mengenal Yahweh, satu-satunya Tuhan yang benar. Bileam mempunyai reputasi sebagai seorang nabi yang dipercayai mempunyai kuasa untuk memberkati atau mengutuk; itulah sebabnya Raja Balak dari Midian mengupahnya untuk mengutuk bangsa Israel (BILANGAN 22:5-6). Akan tetapi, walaupun Tuhan berfirman kepada Bileam (AYAT 9), dia masih memilih untuk menolak Tuhan. Kemudian, dia menasihati wanita Midian untuk menggoda lelaki Israel jatuh ke dalam dosa seksual dan penyembahan berhala (LIHAT 25:1-9; 31:15-16). Kita melayani Tuhan yang mampu membuka mulut seekor keldai (22:28) dan membuka mata seorang nabi yang jahat (AYAT 31, 34). Oleh itu, kita boleh yakin bahawa Dia juga akan membuka mata rohani setiap orang yang percaya kepada-Nya dan ingin melayani-Nya.
