Seorang lelaki berumur 27 tahun yang belajar di Jepun harus diselamatkan dari Gunung Fuji sebanyak dua kali dalam masa satu minggu! Kali pertama, setelah dia diselamatkan menggunakan helikopter kerana keadaan di gunung itu berbahaya, dia sedar bahawa telefon dan barang-barangnya tertinggal di sana. Empat hari kemudian, walaupun telah diberi amaran, dia tetap kembali ke gunung itu untuk mengambil barangnya. Namun, kali yang kedua ini dia terpaksa diselamatkan lagi kerana dia menghidapi penyakit altitud tinggi. Kisahnya menjadi tumpuan media kerana kejadian itu bukan sahaja jarang berlaku, tetapi juga kerana dia sengaja kembali ke tempat yang berbahaya walaupun sudah mengetahui risikonya.

Kisah ini mencerminkan realiti kerohanian kita—kita sering kembali melakukan perkara buruk atau kesalahan yang Tuhan telah menyelamatkan kita daripadanya. Yudas menggambarkan pergolakan rohani ini dalam suratnya yang pendek. Dalam suratnya yang dituliskan kepada gereja yang menghadapi ancaman daripada pengajar palsu dan kompromi dari segi moral, dia menasihati orang yang percaya kepada Yesus agar “berjuang untuk iman” (ayat 3), bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Dia mencabar mereka untuk menyelamatkan orang lain “daripada api” (ayat 23)—mengambil peranan aktif dalam melindungi mereka yang sedang menghadapi bahaya ajaran sesat. Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita tidak boleh sekadar berpeluk tubuh dan melihat orang lain terjerumus atau gagal dalam iman mereka.

Hari ini, Tuhan memanggil kita menolong orang lain dan menolak keinginan untuk kembali ke tempat yang kita telah diselamatkan daripadanya. Kasih kurnia-Nya akan menyelamatkan kita lebih daripada sekali, tetapi ia juga menuntut kita hidup seperti orang yang telah diselamatkan. Dengan kekuatan Tuhan, marilah kita mempertahankan iman dan menolong orang lain “membina hidup yang berasaskan iman yang paling murni” (ayat 20).