Pada Hari Buruh, isteri saya, Sue, dan saya baru sahaja selesai berjalan sejauh 8 km merentasi Jambatan Mackinac, yang menghubungkan dua buah semenanjung Michigan. Acara tahunan di Amerika Syarikat ini merupakan tradisi di negeri kami sejak tahun 1958. Kami duduk sebentar di bangku taman untuk berehat. Seorang lelaki duduk di sebelah kami untuk menenangkan nafasnya juga. Tidak lama kemudian, isterinya dan anak perempuan dewasa mereka menyertai kami. Kami mendapat tahu bahawa keluarga ini—yang juga percaya kepada Yesus—pernah mengalami kehilangan seorang anak perempuan remaja, seperti yang kami alami bertahun-tahun dahulu.
Bersama-sama, kami berkongsi bagaimana Tuhan telah menopang dan menguatkan iman kami selama bertahun-tahun. Sangat menakjubkan untuk difikirkan bahawa antara 33,000 orang yang berjalan pada hari itu, Tuhan mempertemukan kami dengan keluarga yang memahami hati kami.
Dua keluarga dengan kisah yang hampir sama bertemu di tengah-tengah lautan manusia. Ini mengingatkan saya akan janji Tuhan kepada Raja Daud dalam Mazmur 32: “Aku akan mendidik dan mengajarmu ke jalan yang benar; Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku” (ayat 8).
Tuhan menjaga anak-anak-Nya dan mempertemukan mereka kerana mereka saling memerlukan. Inilah satu lagi bukti bahawa “orang yang percaya kepada TUHAN akan dilimpahi kasih setia” (ayat 10).
ILHAM
Mazmur 32 merupakan salah satu daripada tujuh mazmur pengakuan dosa (MAZMUR 6, 32, 38, 51. 102, 130, 143), yang memperlihatkan pemazmur mengakui dosa-dosanya dan kembali kepada Tuhan untuk memohon pengampunan. Daud menulis Mazmur 51 setelah dia bertaubat daripada dosa perzinaan dan pembunuhan (LIHAT 2 SAMUEL 11-12). Ramai cendekiawan berpendapat bahawa peristiwa yang sama juga menjadi latar belakang penulisan Mazmur 32. Dalam mazmur ini, Daud menggambarkan betapa beratnya beban rasa bersalah yang ditanggungnya (AYAT 3-4), dan sukacita yang dialaminya setelah menerima pengampunan Tuhan (AYAT 1-2). Dia juga menegaskan pentingnya mengakui dosa (AYAT 5), dan bukannya berkeras hati seperti “kuda atau keldai” (AYAT 9). Tuhan akan melimpahkan rahmat kepada orang yang rendah hatidan sungguh-sungguh bertaubat, kerana “orang yang percaya kepada TUHAN akan dilimpahi kasih setia” (AYAT 10). Dia juga berjanji untuk membimbing dan memelihara kita dengan penuh kasih: “Aku akan mendidik dan mengajarmu ke jalan yang benar; Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku (AYAT 8).
