Rachel telah berpindah dari satu gereja ke gereja lain selama tiga tahun sebelum menemui satu kumpulan pembelajaran Alkitab yang memberikan apa yang tidak ditemuinya di gereja tradisional, iaitu persekutuan. Rachel ialah seorang yang tuli. Di seluruh dunia, ramai orang tuli menghadapi cabaran yang serupa dalam ibadah kerana kekurangan akses atau komunikasi yang sesuai. Namun gereja yang dihadiri Rachel itu membantu mengekalkan persekutuan dengan menonton ibadah gereja untuk golongan pekak dan bisu di YouTube, membincangkan pengajaran yang ditonton antara sesama, dan kemudian makan bersama. Kumpulan kecil ini memberi rasa keluarga gereja yang dipimpin oleh Roh Kudus, yang sangat dirindukan oleh Rachel.

Rasul Paulus menerangkan bahawa persekutuan Roh Kuduslah yang menjadikan gereja itu sebuah komuniti. Dalam suratnya yang ditulis dari penjara, dia menggesa jemaah di Filipi supaya hidup dalam kesatuan rohani. Itulah antara harapannya bagi jemaah yang telah diasaskan dan dikasihi.

“Berdiri teguh dalam satu roh, berjuang bersama dengan satu hati untuk iman berdasarkan Injil,” gesanya (Filipi 1:27). Sambungnya, “Oleh itu, jika ada galakan kerana bersatu dalam Kristus, jika ada penghiburan hati kerana kasih-Nya, jika ada keakraban dalam Roh, … sempurnakanlah kebahagiaanku dengan berkeadaan sejiwa” (2:1-2).

Jadi, jangan mementingkan diri sendiri. Katanya lagi, Tiap-tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain (ayat 3-4). Nasihat itu sesuai sebagai panduan bagi semua komuniti gereja. Dengan pertolongan kuasa Roh Kudus, komuniti kita dapat melayani Tuhan dalam persekutuan yang harmoni.