Sebelum majlis perkahwinan sahabat karib saya, kami telah bersungguh-sungguh menyediakan meja untuk 200 orang tetamu di majlis tersebut. Dengan penuh kegembiraan dan harapan, kami meluangkan banyak masa melipat napkin, menyusun sudu garpu, merapikan alas meja, dan menggubah bunga. Setelah semua usaha itu, kami tidak sabar menunggu tetamu datang dan menikmatinya. Namun, apabila banyak kerusi masih kosong, kami amat kecewa.

Yesus menceritakan kisah yang hampir serupa kepada beberapa orang Farisi ketika mereka makan bersama (Lukas 14:15-20). Dalam kisah itu, Yesus menggambarkan seorang lelaki yang dengan penuh kasih menyediakan satu jamuan besar untuk ramai orang, tetapi hanya sedikit yang datang. Para jemputan lain yang enggan datang itu pula memberi alasan yang tidak munasabah. Lelaki itu marah pada keengganan mereka untuk menghadiri jamuannya itu. Maka dia menjemput golongan terpinggir—orang miskin, orang kudung, orang buta dan orang tempang (ayat 21). Apabila masih ada tempat, hamba-hambanya disuruh pergi lebih jauh lagi untuk suruh orang datang supaya rumahku penuh (ayat 23).

Perumpamaan ini mengingatkan kita bahawa ramai orang pilihan Tuhan menolak Yesus sebagai Mesias, dan menolak undangan-Nya ke dalam kerajaan-Nya (Yohanes 1:11). Untuk meneruskan rancangan penyelamatan Tuhan untuk dunia ini walaupun ditolak, Tuhan membuka undangan-Nya kepada bangsa-bangsa lain, orang yang bukan keturunan Yahudi. Semua yang menerima Yesus dengan iman dialu-alukan untuk menghadiri perjamuan kerajaan Tuhan tanpa mengira sama ada dunia menganggap mereka layak atau tidak. Undangan itu masih terbuka hari ini.