Walaupun kami tidak tinggal di negeri yang sama dengan datuk dan nenek sebelah ibu, saya bersyukur dapat mengenali mereka dengan baik. Mereka sering datang ke Colorado untuk mengunjungi kami, dan kami juga melawat mereka di California. Apabila saya dan kakak saya meningkat dewasa, perbualan kami dengan datuk dan nenek beralih daripada topik kanak-kanak kepada perkara yang lebih serius seperti kewangan. Mereka menjelaskan bahawa mereka ingin berkongsi sumber mereka dengan kami semasa mereka masih hidup, tetapi sebahagian besar harta pusaka mereka akan didermakan kepada badan kebajikan selepas mereka meninggal dunia.

Datuk dan nenek saya memang sangat pemurah sepanjang hidup mereka terhadap keluarga. Apabila mereka meninggal, saya berasa bangga untuk melihat harta-harta terakhir mereka masih boleh digunakan untuk membantu orang lain. Apabila saya membandingkan teladan hidup mereka dengan Amsal 13:22a, bahawa “Orang baik meninggalkan warisan bagi anak cucunya,” saya melihat warisan mereka bukan sekadar wang atau harta, tetapi cara hidup. Kita tidak sepatutnya hidup mementingkan diri sendiri, tetapi perlu prihatin dan berbuat baik kepada generasi seterusnya.

Bukan semua orang mempunyai kekayaan secara kewangan untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Namun, jika kita memilih untuk hidup dengan bermurah hati kepada orang lain dengan menggunakan apa sahaja yang kita miliki—walaupun hanya masa dan perhatian, anak-anak kita (dan generasi seterusnya) akan menerima warisan yang berharga, iaitu warisan kemurahan hati. Apabila kita bergantung pada Tuhan untuk memenuhi keperluan kita, kita dapat berkongsi iman dan segala yang kita ada, sama ada material atau bukan material, dengan orang lain.