Bunyi air yang mengalir deras mengesahkan bahawa saya telah tiba di Kolam Memorial 9/11 di Bandar Raya New York, tempat yang selama ini saya elakkan kerana takut terlalu sedih dan duka apabila mengenangkan tragedi yang berlaku pada tahun 2001. Saya berjalan mengelilingi dua buah kolam refleksi besar yang terletak di tapak bekas Menara Berkembar. Sungguh menggugah perasaan apabila melihat nama-nama mangsa yang terukir pada dinding kolam—serta bunga-bunga mawar yang diletakkan oleh orang tersayang mereka.

Saya berada di Manhattan pada pagi 11 September 2001, tetapi syukurlah bukan berhampiran Pusat Dagangan Dunia (World Trade Center). Namun, sebagai anak jati New York, tragedi itu terasa amat dekat di hati. Akhirnya, saya berada di Ground Zero (tapak runtuhan tragedi 9/11), tetapi saya tidak diliputi kesedihan atau ketakutan. Sebaliknya, saya merasakan sejahtera ketika berdiri di situ sambil mengenang kasih kurnia Tuhan yang meneguhkan. Sejahtera itu ialah rahmat Tuhan, sumber penghiburan kita.

Apabila kita membaca kitab Mazmur, kita melihat bahawa Daud juga mengalami kesedihan, ketakutan, dan dukacita, tetapi pada masa yang sama, dia merasakan penghiburan Tuhan. Dalam Mazmur 30, dia menulis, “Ya TUHAN, ya Allahku, aku telah berseru kepada-Mu lalu Engkau menyembuhkan aku”(ayat 2).“Tangisan mungkin berlangsung semalaman, tetapi kegembiraan muncul sewaktu pagi” (ayat 5). Tuhan mengubah kesedihan Daud “menjadi tarian” dan “melucutkan kedukaan[nya] dan meliputi[nya] dengan keriaan” (ayat 11).

Apabila kita berasa ditimpa kesedihan, kehilangan, atau kesakitan, marilah kita datang kepada Tuhan, yakni sumber penghiburan, yang dekat dengan orang yang patah hati, dan bersyukur kepada-Nya seperti yang dilakukan oleh Daud: Ya TUHAN, ya Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya (Mazmur 30:12).