Di satu sudut anak tangga bata yang menuju ke pintu depan rumah kami, tumbuh sebatang bunga begonia merah yang tahan lasak. Kami tidak menanamnya—mungkin ia tumbuh sendiri daripada biji benih yang jatuh dari bakul gantung. Tetapi kami membiarkan ia terus tumbuh di situ. Tahun demi tahun, bunga itu menjadi peringatan yang ceria bagi saya dan isteri saya bahawa ketabahan itu sesuatu yang indah.

Yakobus memberikan dorongan yang lebih indah lagi agar kita terus tabah, terutama bagi mereka yang menghadapi tentangan kerana iman mereka kepada Yesus: “Anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan … kerana kamu tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan (Yakobus 1:2-3).

Kebahagiaan? Kita mungkin berasa sukar untuk menerima kata-kata itu, tetapi rasul Yakobus memegang harapan dan yakin pada kebenaran bahawa Tuhan berkuasa atas segala sesuatu, dan dapat mendatangkan kebaikan walaupun daripada keadaan yang sukar. Yakobus melengkapkan pemikiran itu: Berbahagialah orang yang tabah semasa mengalami cubaan … mereka akan menerima pahala berupa kehidupan yang sudah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang mengasihi-Nya (ayat 12). Perkataan berbahagialah adalah perkataan yang sama digunakan oleh Yesus dalam Ucapan Bahagia (Matius 5:4-12), dan membawa maksud “gembira”.

Walau apa pun yang kita hadapi, termasuk cabaran iman dan kesukaran hidup, Tuhan akan menolong kita dengan kasih-Nya untuk terus bertahan, dan suatu hari nanti Dia akan mengurniakan kebahagiaan-Nya yang indah kepada kita.