Bunyi air yang mengalir deras mengesahkan bahawa saya telah tiba di Kolam Memorial 9/11 di Bandar Raya New York, tempat yang selama ini saya elakkan kerana takut terlalu sedih dan duka apabila mengenangkan tragedi yang berlaku pada tahun 2001. Saya berjalan mengelilingi dua buah kolam refleksi besar yang terletak di tapak bekas Menara Berkembar. Sungguh menggugah perasaan apabila melihat nama-nama mangsa yang terukir pada dinding kolam—serta bunga-bunga mawar yang diletakkan oleh orang tersayang mereka.
Saya berada di Manhattan pada pagi 11 September 2001, tetapi syukurlah bukan berhampiran Pusat Dagangan Dunia (World Trade Center). Namun, sebagai anak jati New York, tragedi itu terasa amat dekat di hati. Akhirnya, saya berada di Ground Zero (tapak runtuhan tragedi 9/11), tetapi saya tidak diliputi kesedihan atau ketakutan. Sebaliknya, saya merasakan sejahtera ketika berdiri di situ sambil mengenang kasih kurnia Tuhan yang meneguhkan. Sejahtera itu ialah rahmat Tuhan, sumber penghiburan kita.
Apabila kita membaca kitab Mazmur, kita melihat bahawa Daud juga mengalami kesedihan, ketakutan, dan dukacita, tetapi pada masa yang sama, dia merasakan penghiburan Tuhan. Dalam Mazmur 30, dia menulis, “Ya TUHAN, ya Allahku, aku telah berseru kepada-Mu lalu Engkau menyembuhkan aku”(ayat 2).“Tangisan mungkin berlangsung semalaman, tetapi kegembiraan muncul sewaktu pagi” (ayat 5). Tuhan mengubah kesedihan Daud “menjadi tarian” dan “melucutkan kedukaan[nya] dan meliputi[nya] dengan keriaan” (ayat 11).
Apabila kita berasa ditimpa kesedihan, kehilangan, atau kesakitan, marilah kita datang kepada Tuhan, yakni sumber penghiburan, yang dekat dengan orang yang patah hati, dan bersyukur kepada-Nya seperti yang dilakukan oleh Daud: “Ya TUHAN, ya Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya” (Mazmur 30:12).
ILHAM
Mazmur 30 merupakan mazmur pujian yang memuliakan Tuhan kerana Dia telah menyelamatkan dan menyembuhkan Daud (AYAT 1-3, 9-11). Namun, menurut para penafsir Jacobson dan Tanner, mazmur ini bukan sekadar mazmur pujian, tetapi juga “sebuah mazmur mengenai pujian” yang memanggil para pendengar menjalani “kehidupan yang penuh pujian.” Kasih, belas kasihan dan pemulihan yang diberikan oleh Tuhan menjadi alasan bagi umat-Nya untuk terus hidup dalam pujian kepada-Nya (AYAT 4-5). Ditinggalkan oleh Tuhan bererti “darahku tertumpah” (AYAT 9). Namun, Tuhan tidak akan meninggalkan kita. Sebaliknya, Dia menghiburkan kita apabila kita sedih dan mengubah “kesedihan [kita] menjadi tarian riang” (AYAT 11); oleh itu, kita mempunyai alasan untuk “bersyukur kepada[-Nya] selama-lamanya” (AYAT 2). Pada hari ini, ketika kita mengalami kesedihan dan kesakitan, kita boleh memuji-Nya dan datang kepada-Nya untuk penghiburan.
