Shiro Oguni pernah melawat sebuah rumah penjagaan untuk orang dewasa yang menghidap demensia. Dia berasa sedih sekali melihat mereka terasing daripada kehidupan masyarakat. Dia pun berfikir, mesti ada cara yang lebih baik untuk membantu mereka. Akhirnya, lahir satu idea kreatif yang dipanggil Restoran Pesanan yang Salah (Restaurant of Mistaken Orders). Ia adalah sebuah restoran yang benar-benar wujud dengan kelainan: semua pelayannya ialah orang yang mengalami masalah ingatan. Ya, memang betul. Semua pekerja dalam peranan penting itu, yang biasanya memerlukan daya ingatan yang kuat, sebenarnya mengalami masalah ingatan. Kalau dilihat dari sudut perniagaan, hasilnya tidak baik. Sebanyak 37% pesanan pelanggan tidak tepat. Tetapi para pelanggan sudah menjangkakan keadaan itu, jadi keadaan tersebut difahami. Selepas kejadian “tersalah pesanan” itu, biasanya permohonan maaf dan gelak ketawa bersama akan kedengaran, dan akhirnya pelanggan pulang dengan hati yang gembira.

Paulus menulis, “sabar” (Efesus 4:2). Namun setiap kita tahu cakap memang senang, tetapi hendak melakukannya itu susah, kerana ia melibatkan sikap bertolak ansur satu sama lain, frasa yang membawa maksud ‘bertahan, menyokong, dan membantu”. Dalam kata lain, ia memerlukan usaha. Namun, jika usaha itu bersumberkan kasih Tuhan, bukannya kekuatan sendiri, maka beban akan terasa lebih ringan, menghasilkan hidup yang penuh sukacita, kejutan, permohonan maaf, bahkan gelak ketawa. Cara hidup ini akhirnya mengajar bahawa kita mungkin tidak selalu mendapat apa yang kita minta, tetapi kita akan mendapat sesuatu yang benar-benar kita perlukan—hiduplah berpadanan dengan panggilan itu (ayat 1).