Ketika menghantar anak lelakinya yang berusia sembilan tahun ke sebuah kem, seorang ibu tersesat selepas mengambil simpang yang salah dan keretanya tersekat di sebuah jalan hutan terpencil di Pergunungan Sierra Nevada, California. GPS dan telefonnya tidak berfungsi kerana kawasan itu terlalu jauh, menyebabkan mereka tidak dapat mencari jalan pulang. Setelah sesat lebih daripada dua puluh empat jam dan terpaksa bermalam di dalam kereta, mereka mengambil keputusan yang mendesak untuk berjalan kaki. Mereka meninggalkan nota di sepanjang jalan: “TOLONG. Saya dan anak saya terkandas, tiada liputan telefon, dan tak dapat menghubungi 9-1-1.” Oleh sebab mereka tidak tiba di kem pada waktu yang dijadualkan, pasukan mencari dan menyelamat mula melakukan pencarian. Mereka menemui kereta, nota-nota tersebut, dan akhirnya menemui ibu itu dan anaknya dalam keadaan selamat.

Orang Israel juga berseru dengan terdesak kepada Tuhan kerana mereka ditindas dengan kejam oleh orang Mesir yang memperhambakan mereka (Keluaran 1:11-12). Malah mereka dijadikan buruh paksa, menjadikan kehidupan mereka menderita dalam perhambaan yang cukup perit (ayat 13-14). Orang Israel mungkin tertanya-tanya sama ada mereka mampu bertahan. Namun Tuhan mendengar seruan mereka dan memanggil Musa untuk membebaskan mereka (3:4-10). Akhirnya, Tuhan memakai Musa untuk menyelamatkan mereka dan memimpin mereka keluar dari Mesir (rujuk Keluaran 14-15).

Sama ada kita berasa tersesat atau diperlakukan dengan tidak adil, Tuhan sentiasa dekat dan mendengar seruan kita. Pada waktu-Nya dan dengan cara-Nya, Dia akan menghantar pertolongan yang kita perlukan menurut waktu dan cara-Nya.