Elise mula berasa cemas. Susun atur buku perlu dihantar keesokan harinya, tetapi pihak pencetak telah menolak gambar-gambar tersebut. Masalah itu mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diselesaikan.

“Jangan risau,” kata suaminya, Sam. “Mari kita minta pertolongan Tuhan. Selepas itu kita akan bekerja sepanjang malam. Perisian ini mungkin dapat membantu kita membetulkan gambar dengan cepat.”

Semasa mereka berdoa, Elise mula berasa lebih tenang dan yakin. Teruslah memandang kepada Tuhan, katanya dalam hati. Dengan ketenangan fikiran yang diberikan oleh Tuhan serta cadangan praktikal daripada Sam, dia pun mula bekerja—akhirnya dia berjaya menyiapkan tugas tersebut tepat pada waktunya.

Pengalaman itu mengingatkannya kepada tugas besar orang Israel membina semula tembok kota mereka (Nehemia 4). Sudahlah tugas itu cukup besar, ini ditambah pula musuh-musuh mengejek sambil cuba merosakkan usaha mereka. Namun, Nehemia menggalakkan mereka untuk terus berharap dan bergantung pada Tuhan. “Begitu banyak puing hinggakan kami tidak dapat meneruskan pembinaan semula tembok itu,” kata orang Yehuda, tetapi Nehemia menjawab, “Ingatlah kepada Tuhan yang besar dan teramat hebat” (ayat 10, 14). Kemudian dia menugaskan para lelaki untuk membina tembok sambil berjaga-jaga terhadap serangan musuh, dengan menempatkan para pemimpin untuk mengawasi serta menyokong di belakang (ayat 16). Dia juga memberi semangat dengan berkata, “Allah kita akan berperang bagi kita” (ayat 20).

Setiap kali kita menghadapi cabaran yang sangat sukar, kita hendaklah terus memandang kepada Tuhan dan meminta pertolongan-Nya untuk diberikan kekuatan. Kita boleh berdoa diberi hikmat untuk mencari jalan penyelesaian yang praktikal, kemudian mengambil langkah yang perlu, dan akhirnya percaya kepada Tuhan tentang apa pun hasilnya nanti.