Cucu lelaki saya yang masih kecil bermalam di rumah baharu kami, dan dia tidur di atas katil yang belum biasa baginya. Dia ketawa kecil dengan gembira ketika kami membaca buku di bawah khemah dinosaur yang saya pasang di atas selimutnya yang empuk. Tetapi apabila tiba masa untuk tidur, matanya terbeliak kerana khuatir. Lalu dia bertanya, “Macam mana saya nak cari nenek kalau saya perlukan nenek?” Saya mendapat satu idea, lalu mengambil segulung reben daripada satu kotak simpanan pembalut hadiah di dalam almari. Kami sama-sama membuka gulungan reben itu dari katilnya, ke lantai, menyusuri lorong, hingga ke bilik saya. “Jangan risau ya,” kata saya. “Kalau kamu perlukan nenek waktu malam, ikut saja reben ini, dan kamu akan jumpa nenek!” Dia pun tersenyum gembira.

Dalam Matius 6, Yesus bercakap secara terus terang tentang pergelutan kita dengan kekhuatiran—tentang apa yang akan kita makan dan minum, tentang tubuh kita, dan apa yang akan kita pakai (ayat 25). Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “khuatir” membawa maksud seolah-olah ditarik ke dua arah,iaitu ke arah iman dan kebergantungan pada diri sendiri. Dalam ayat 33, Yesus memberikan penyelesaian terhadap kebimbangan: “Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.” Ini merupakan satu panggilan untuk kita memilih dan mengikuti satu arah sahaja—arah yang membawa kita terus kepada hati-Nya.

Apabila kita bergelut dengan kekhuatiran, kita boleh mengikuti “reben” yang menuntun kita kepada Kerajaan Tuhan, kehendak-Nya dan hadirat-Nya, dengan keyakinan bahawa Dia akan menyediakan segala yang kita perlukan.