Apabila seorang bapa mengetahui bahawa anak perempuannya yang berumur lima tahun telah terjatuh ke laut dari dek keempat sebuah kapal persiaran, dia terus terjun ke dalam laut sedalam kira-kira 12 meter untuk menyelamatkannya. Dia memegang anaknya sambil terapung di air selama lebih daripada sepuluh minit sebelum pasukan penyelamat kapal membawa mereka kembali ke atas dengan selamat. Sebaik sahaja bapa itu mendengar anaknya dalam bahaya, dia sanggup mempertaruhkan segalanya untuk menyelamatkannya.

Di seluruh Alkitab, kita membaca bagaimana kasih Bapa Syurgawi mendorong-Nya untuk memberikan segala-galanya demi menyelamatkan kita daripada tenggelam dalam dosa. Tuhan pertama kali menyatakan rancangan penyelamatan ilahi-Nya di Taman Eden. Selepas Adam dan Hawa digoda oleh ular dan berdosa, Tuhan mengutuk ular itu dan berkata, “Aku akan mengadakan permusuhan antara engkau dengan perempuan ini, dan antara keturunanmu dengan keturunannya. Keturunannya akan meremukkan kepalamu, dan kamu akan meremukkan tumitnya” (Kejadian 3:15). Ayat ini merujuk kepada peperangan rohani antara Iblis dan umat Tuhan, serta bagaimana pada waktu yang telah ditetapkan-Nya, Tuhan akan mengutus Anak-Nya, Yesus, untuk menebus dunia melalui kematian dan kebangkitan-Nya.

Tuhan telah sedia untuk menyelamatkan kita lama sebelum kita menyedari bahawa kita memerlukan pertolongan-Nya. Setiap kali kita berasa seolah-olah sedang tenggelam dalam lautan dosa, kita boleh dikuatkan dengan keyakinan bahawa Yesus ialah tali penyelamat ilahi kita. Kita boleh berseru kepada-Nya. Dia akan menyelamatkan dan memulihkan kita.