Kira-kira pada jam 9 malam, suara yang sayu terdengar daripada panggilan ibu: “Ayah kamu dah tak ada”. Walaupun saya telah menjangkakan panggilan ini selama beberapa hari, dan berasa lega kerana ayah tidak lagi menanggung kesakitan, berita itu tetap mendesak dada. Selama berhari-hari dan berminggu-minggu, saya menangis semahu-mahunya melayan rasa sedih yang teramat sangat.
Walaupun kehilangan ayah amat menyedihkan bagi kami, ia lebih sukar bagi sebahagian ahli keluarga saya yang belum percaya kepada Tuhan. Bagi mereka, ayah benar-benar telah pergi buat selama-lamanya. Pada ketika itulah saya menyedari bagaimana kepercayaan kepada Yesus membantu kita menghadapi kedukaan.
Paulus menjelaskannya begini: Oleh sebab Yesus telah hidup semula daripada kematian, mereka yang percaya kepada-Nya juga akan dihidupkan semula suatu hari nanti (1 Tesalonika 4:14). Perkara ini akan berlaku pada hari Dia mengumpulkan kita untuk hidup kekal bersama-Nya (ayat 16-17). Paulus mengatakan hal ini “agar kamu tidak bersedih seperti orang yang tidak mempunyai harapan” (ayat 13). Hati saya dihibur pada saat saya amat berduka kerana saya tahu bahawa suatu hari kelak, saya akan bertemu semula dengan ayah.
Alkitab menuliskan bahawa berasa sedih ketika kehilangan orang tersayang itu memang biasa. Bahkan Yesus sendiri menangis atas kematian seorang sahabat walaupun Dia tahu sahabat itu akan dibangkitkan semula (Yohanes 11:34-44). Kadangkala kita tidak mengetahui apa yang dipercayai oleh orang yang kita kasihi sebelum mereka meninggal dunia. Namun begitu, kesedihan kita tetap ada harapan yang menenangkan kita. Kerana Yesus, kita akan bertemu semula dengan orang tersayang yang percaya kepada-Nya, dan kita boleh menyerahkan segala-galanya ke dalam penjagaan-Nya.
ILHAM
Bersedih kerana kehilangan orang tersayang ialah suatu proses yang semula jadi dan memerlukan masa. Kematian boleh membawa kesakitan dan kepiluan yang menyayat hati. Namun, dalam 1 Tesalonika 4, kita diingatkan supaya tidak bersedih seperti “orang [lain]”—orang tidak percaya—“yang tidak mempunyai harapan” (ayat 13). Kesedihan kita menjadi lebih ringan untuk ditanggung kerana Roh Kebenaran, yakni Penolong kita, menyertai kita (Yohanes 14:15-17), dan kita mempunyai jaminan bahawa suatu hari nanti kita akan bersatu semula dengan orang kesayangan kita yang telah meninggal dunia dalam Kristus, dan bersama-sama menikmati hadirat Juruselamat kita untuk selama-lamanya. Orang yang percaya kepada Yesus mengetahui bahawa kehidupan di dunia ini bukanlah pengakhiran. Kita mempunyai janji kehidupan kekal (3:16). Orang kesayangan kita kini dalam pelukan Kristus, dan kita boleh mempercayakan mereka kepada-Nya. Pada suatu hari nanti, kita akan bersatu semula, dan “Tiadalah lagi kematian, kesedihan, dan tangisan. Tiada lagi kesakitan” (Wahyu 21:4).
