Seperti kebanyakan orang yang meninggal pada usia muda, kematian Joe mengejutkan semua yang mengenalinya. Sejurus sebelum dia meninggal dunia, dia telah membuat beberapa keputusan yang kurang bijak. Kini, suami, bapa, jurulatih, dan pemimpin belia ini tidak lagi bersama mereka yang selama ini bergantung padanya.
Mudah untuk hanya menumpukan perhatian kepada pilihan-pilihan buruk Joe pada akhir hidupnya. Namun, ketika anak perempuannya berucap di majlis pengebumian, dia dengan tepatnya menekankan bagaimana ayahnya, walaupun seorang yang tidak sempurna seperti setiap kita, telah mengabdikan hidupnya untuk melayani Yesus.
Kita mendapati hal yang sama dalam kisah Raja Yosia dari Yehuda. Ketika Raja Nekho dari Mesir melancarkan serangan ketenteraan terhadap Babilonia, Yosia dengan bodohnya “keluar menghadapi [Raja Nekho]” (2 Tawarikh 35:20). Nekho sebenarnya tidak berniat menyerang raja Yehuda (ayat 21), namun tindakan Yosia yang campur tangan dalam hal ini telah mengabaikan “pesan Allah” (ayat 22, TB). Akhirnya keputusan itu meragut nyawanya (ayat 23-24).
Walaupun Yosia mengakhiri hidupnya dengan tidak bijaksana, nabi Yeremia “mengarang sebuah syair ratapan tentang Yosia” (ayat 25). Kisah itu diakhiri dengan kata-kata, “Riwayat Yosia yang selebihnya dan segala perbuatan baiknya … tertulis dalam kitab raja-raja Israel dan Yehuda” (ayat 26-27). Perbuatan baik (atau salih)—satu epitaf (penyataan ringkas untuk mengenang seseorang yang meninggal dunia) yang sesuai bagi orang yang meninggal awal.
Adalah baik untuk merenungkan kata-kata rasul Paulus: “Dengan demikian, sekarang tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus” (Roma 8:1). Apabila kita memikirkan bagaimana Bapa Syurgawi memandang dan menerima kita melalui Kristus, mudah untuk kita mengingati kembali tindakan-tindakan pengabdian yang telah dilakukan oleh anak-anak-Nya yang kini telah tiada.
apakah kisah-kisah pengabdian mereka kepada Tuhan yang anda ingat tentang mereka?
ILHAM
Selain menulis kitab Yeremia, kitab yang paling panjang dalam Alkitab, nabi Yeremia juga menulis kitab Ratapan, yang mencatatkan tentang ratapannya atas kejatuhan Yerusalem ke tangan Nebukadnezar dan orang Babel. Dalam 2 Tawarikh 35:20-27, kita diberitahu bahawa Yeremia juga ialah seorang penulis lagu, dan lagu-lagu yang disebut dalam petikan itu merupakan penghormatan kepada Yosia, raja Yehuda (ayat 25). Kita mungkin bukan penulis lagu atau penggubah nyanyian, namun kita tetap dapat menghargai dan mengenang mereka yang telah meninggal sebelum kita. Kita boleh mendorong orang lain semasa kita berkongsi kenangan kita tentang mereka. Pada masa yang sama, kita juga akan menerima penghiburan apabila kita secara peribadi menrenungkan pengabdian mereka kepada Yesus.
